Visi Sekolah

Saturday, October 23, 2010

Wajib lulus sejarah dalam peperiksaan SPM mulai tahun 2013 !!

KUALA LUMPUR: Akhbar METRO – 24.10.2010, Kementerian Pelajaran memutuskan untuk menjadikan mata pelajaran Sejarah sebagai mata pelajaran wajib lulus di peringkat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun 2013.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, syarat wajib lulus itu sama seperti mata pelajaran Bahasa Malaysia sebagai syarat untuk mendapat SPM.


"Kita kena bagi masa sedikit kalau tidak dia (pelajar) terkejut... jadi ini memerlukan tempoh masa untuk kita melatih guru dan juga menyediakan pelajar-pelajar kita untuk menghadapi sistem baru ini," katanya yang juga Menteri Pelajaran ketika menggulung perbahasan di Perhimpunan Agung Umno 2010 di sini hari ini.


Beliau berkata, bermula tahun 2014, di bawah Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), mata pelajaran Sejarah akan dijadikan sebagai mata pelajaran teras di peringkat sekolah rendah. "Seperti yang dibangkitkan oleh wakil Perak dan Kedah, di peringkat sekolah rendah, pada masa ini, elemen Sejarah diajar melalui mata pelajaran Kajian Tempatan."

Ulasan: Rasanya satu tindakan dan keputusan yang tepat dan sangat baik. Ini memandangkan kebelakangan ini subjek ini semakin terpinggir dan tidak begitu dititikberatkan oleh pelajar. Maknanya selepas ini, pelajar minat atau kurang minat dengan subjek ini mesti belajar dengan baik dan sekaligus lulus. Kalau tak maka tak dapatlah sijil SPM !!!

Sunday, October 3, 2010

Sambutan Kemerdekaan Peringkat Sekolah


Sambutan kemerdekaan di sekolah tahun ini agak rancak juga walau ada sedikit kekangan budget. Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan untuk menimbulkan rasa kesedaran, keinsafan dan juga perasaan bangga sebagai rakyat Malaysia di kalangan para pelajar. Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah kibaran jalur gemilang, ceria kelas merdeka, melukis mural merdeka, sukaneka merdeka, sajak merdeka, peta minda merdeka, tayangan merdeka dan countdown merdeka.

Apa yang menarik juga kali ini ialah terdapat acara mengimbau zaman sebelum merdeka, iaitu upacara makan ubi kayu dan air kopi asli. Semua pelajar diberi makan ubi kayu yang dibaluti daun pisang dan air kopi asli. Tujuannya ialah untuk mereka merasai sedikit detik-detik jerit perih suasana sebelum negara mencapai kemerdekaan.

Jom layan gambar

zassssssss ...



Kibaran Jalur Gemilang


Pelajar melihat tayangan merdeka

Ketua-ketua Kelas memasang bendera

Pelajar menyambut Banner '1 Malaysia Menjana Transformasi'


Guru-guru menyambut Banner '1 Malaysia Menjana Transformasi'

Menonton filem sejarah kemerdekaan negara


Masak ubi kayu


Perarakan Jalur Gemilang


Thursday, August 19, 2010

PPD Kuala Krai bertemu mata dengan pelajar-pelajar tingkatan 5

Hari Ahad - baru-baru ini, sebelum peperiksaan Percubaan SPM, satu perjumpaan pihak PPD Kuala Krai dengan pelajar-pelajar Tingkatan 5 SMK Pahi telah diadakan. Perjumpaan ini telah diadakan di Dewan Utama SMK Pahi.

Pegawai PPD Kuala Krai, Tn. Hj. Zulkifli bin Mohd Noor dan pegawainya, Hj.Mohamad Yunus b.Yusoff telah meluangkan masa hampir 3 jam bersama pelajar-pelajar tingkatan 5. Antara yang disentuh dalam pertemuan ini ialah berkenaan prestasi semasa pelajar dalam Peperiksaan PKBS 2.

Post Mortem telah diadakan di mana kekuatan dan kelemahan pelajar dibincang secara langsung. Di samping post mortem PKBS 2, motivasi dan sentuhan semangat turut diberikan oleh Tn. Hj. Zulkifli dan Tn. Hj. Mohamad Yunus agar pelajar terus bangkit untuk berjaya dengan lebih cemerlang lagi.

Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih atas kesudian pihak PPD Kuala Krai untuk bersama-sama dengan pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM tahun 2010 ini.







Saturday, August 7, 2010

Bengkel Teknik Menjawab Cemerlang PMR 2010

Pada 20 hingga 30 Jun baru-baru ini, satu Bengkel Teknik Menjawab PMR telah diadakan. Bengkel PMR ini mencakupi semua subjek PMR dan telah disertai oleh semua pelajar Tingkatan 3. Tenaga penceramah pula adalah terdiri daripada Guru-Guru Cemerlang dalam bidang masing-masing. Bengkel anjuran pihak kaunseling sekolah ini bagi adalah bertujuan membantu pelajar-pelajar tingkatan 3 dalam menghadapi peperiksaan PMR yang sebenar nanti.









Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penceramah. Jasa anda sangat dihargai. Moga pelajar beroleh manfaat dari bengkel yang diadakan ini.

Saturday, July 31, 2010

Sambutan Hari Guru 2010


Kaunselor sekolah datang menghampiri aku …

“Cikgu syid.. Saya lupa nak bagi gambar Hari Guru yang saya ambil baru-baru ini"
“Okey. Tak apa. Adake?”
“Ni saya dah bawa External Hard Disk. Cikgu syid nak masuk dalam blog sekolah kan?”
“Iya. Nanti saya masukkan”

Jom kita layan gambar sepanjang hari guru baru-baru ini … zaassssssssss

















Selamat Hari Guru untuk semua guru di SMK Pahi dan seluruh Malaysia. Moga kita semua menjadi guru yang cemerlang demi agama, bangsa dan negara.

Monday, June 28, 2010

Peranan Guru dalam Pelaksanaan NKRA


Tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melancarkan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang turut meliputi bidang pendidikan. Banyak yang telah disentuh mengenai intipati kepada sub-NKRA dalam pendidikan.


Jom kita baca sepintas lalu mengenai peranan guru dalam pelaksanaan NKRA yang saya rasakan sangat menarik untuk kita renungi bersama.


Berikut saya petik antara ucapan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom ( disiar dalam Majalah Pendidik, Jun 2010)


“Setiap guru sewajarnya melaksanakan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka dengan menampilkan ciri-ciri seperti bersikap profesional, mempamerkan ciri-ciri kekuatan teori, kaya ilmu, bertindak di atas landasan etika dan tatasusila kerja, bermoral teguh, sentiasa berusaha meningkatkan kualiti hasil pengajaran, prihatin dengan kehendak murid dan ibu bapa, berkebolehan menilai kekuatan dan kelemahan murid, melengkapkan diri dengan kemahiran yang sejajar dengan tuntutan semasa …”



“Setiap guru juga perlu menampilkan watak terpuji, berimej, berperibadi mulia, berwawasan sebagai pendidik unggul pada setiap masa, memastikan situasi guru mengajar murid belajar wujud di dalam kelas, berupaya melahirkan persekolahan berwatak supaya pelajar mempunyai kekuatan ilmu, berpersonaliti sihat dan serba boleh, berupaya membina minda pelajar yang cemerlang, berupaya membentuk perwatakan murid yang berakhlak mulia, berketrampilan, pandai menyesuaikan diri dengan situasi tertentu, taat dan setia terhadap perkhidmatannya, mempertahankan martabat profesionnya, bebas pendirian, profesional dan menumpukan perhatian kepada P&P di sekolah.”

Sunday, May 16, 2010

Perkhemahan Agung Unit-Unit Beruniform 2010



Satu perkhemahan unit-unit beruniform SMK Pahi telah berjaya diadakan pada 6 – 8 Mei 2010. Seramai lebih 240 orang pelajar dari 7 unit beruniform masing-masing telah menyertai perkhemahan ini. Unit Uniform yang terlibat ialah Kadet Polis, Kadet Remaja Sekolah (KRS), Kadet Bomba, Briget Bakti, Puteri Islam, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM)


Selain daripada guru yang bertindak sebagai urusetia dan AJK program perkhemahan ini, para pelajar tingkatan 6 seramai 22 orang juga telah dilibatkan sebagai pembantu urusetia kepada guru.


Antara aktiviti yang telah berjaya dijalankan ialah Aktiviti Pandu Arah / Kompas, Kemahiran ikatan tali, Senaman Malaysia Cergas, Tarian Poco-Poco, Kem Kraf, Aktivti Jalan Lasak, Merempuh Halangan, Mendaki menggunakan tali, Menyeberangi Sungai, Ikhtiar Hidup, Menjala Ikan, Sukaneka, Pertandingan Memasak dan Persembahan Kebudayaan.


Antara objektif Perkhemahan:

1. Meningkatkan disiplin dan motivasi di kalangan pelajar ke arah kecemerlangan diri.

2. Membentuk pelajar agar mempunyai jati diri, bersahsiah dan berperawakan yang menarik.

3. Meningkatkan kemahiran bersosial di kalangan pelajar.

4. Memupuk semangat perpaduan dan rasa bangga sebagai warga sekolah.

5. Mendedahkan kemahiran berorganisasi dan pengurusan kepada AJK pelajar yang bertindak sebagai urusetia/fasilitator sepanjang perkhemahan.


Jom kita tengok gambar sepanjang aktiviti perkhemahan berlangsung.


Zaassssss ..

































Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat, terutama kepada pihak AJK Induk dan AJK kerja.

Kepada semua guru, jasa dan tunjuk ajar sepanjang perkhemahan adalah satu amalan yang sangat mulia.

Kepada semua pelajar yang menyertai perkhemahan, moga ianya dapat memberikan pelajar suatu pengalaman, pengetahuan dan kemahiran yang boleh digunapakai pada suatu hari nanti.

Kepada urusetia pelajar Tingkatan 6, jadikan segalanya sebagai ilmu untuk merancang dan mengurus sesuatu program.

Terima kasih semua ...