Visi Sekolah

Tuesday, May 20, 2014

“GURU PENCETUS KREATIVITI, PENJANA INOVASI”



“GURU: PENCETUS KREATIVITI, PENJANA INOVASI”

Dipilih sebagai Tema bagi Sambutan Hari Guru Kali Ke-43 Tahun 2014

1. DEFINISI:

1.1. GURU : Kata GURU merangkumi semua warga pendidik yang menyumbang khidmat bakti dalam semua bentuk institusi pendidikan yang menjadi penggerak serta pendukung kepada pembangunan pendidikan neqara.

1.2. PENCETUS : Merujuk maksud peranan untuk menimbulkan sesuatu ilham/idea atau mengeluarkan sesuatu seperti ilmu. Guru bertindak sebagai pencetus idea kepada kreativiti dalam usaha melahirkan generasi intelek.

1.3. KREATIVITI : Didefinisikan sebagai penghasilan idea, kebolehan untuk mencipta atau proses pemikiran yang mendorong dalam pencetusan idea baru dan berdaya kreatif.

1.4. PENJANA: Merujuk maksud guru sebagai penggerak atau perantara yang paling penting dalam proses transformasi ke arah keberhasilan.

1.5. INOVASI: Didefinisikan sebagai pengaplikasian kreativiti, pembaharuan, modifikasi, kaedah dan sistem bagi mencari jalan untuk menghasilkan produk baru dan perkhidmatan yang lebih baik, bermakna dan bernilai.


2. HURAIAN

2.1 Tema hari guru Tahun 2014 dicadangkan iaitu Guru : Pencetus Kreativiti, Penjana Inovatif adalah selaras dengan transformasi pendidikan ke arah membangunkan kemahiran abad ke-21 iaitu berfikiran kritis dan kreatif serta menggalakkan perkembangan sahsiah murid yang holistik dan seimbang seperti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

2.2 Sistem pendidikan Malaysia berhasrat memastikan setiap murid mencapai potensi sepenuhnya agar menjadi generasi gemilang iaitu berpengetahuan dan berkemahiran, pemikiran kritis, kreatif dan inovatif; kemahiran memimpin, memiliki sahsiah dan nilai serta semangat identiti nasional. Hal ini sangat relevan dalam PPPM yang terus mendukung hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk pendidikan seimbang sebagai asas aspirasi setiap murid.

2.3 Guru memainkan peranan penting sebagai penggerak agen perubahan yang sentiasa kreatif dan inovatif, mempunyai keterampilan yang tinggi dari segi personaliti, mempunyai pemikiran luas dan strategik serta mampu mencetus ledakan ilmu yang dapat diterapkan kepada murid bagi membolehkan mereka menghubungkan pelbagai disiplin ilmu untuk mencipta ilmu yang baharu bertaraf dunia.

2.4 Membudayakan inovasi merupakan agenda berterusan dalam gelombang transformasi pendidikan bagi melahirkan generasi muda yang bersedia mencapai kecemerlangan dalam persekitaran yang kompetitif secara global. Keupayaan warga pendidik menyediakan peluang kepada murid bagi mendapat pengalaman pembelajaran lebih bermakna, pengalaman pembelajaran dalam menyelesaikan masalah, kreativiti dan pemikiran kritikal dilihat mampu meningkatkan kemahiran murid yang dapat berfikir secara kritis dalam konteks akademik dan persekitaran kehidupan sebenar.

2.5 Dunia dan ekonomi yang bersifat global hari ini memerlukan pesaing yang mampu berfikir dengan lebih kritis dan kreatif dan inovatif. Justeru peranan guru sebagai penggerak generasi yang intelek dan berdaya saing perlu menghasilkan kualiti pengajaran yang gemilang dengan memperkukuh amalan terbaik dalam pendidikan.

 p/s - sama-sama kita mengluarbiasakan sesuatu yang biasa ..


Saturday, May 10, 2014

Time Base Berasaskan Kecemerlangan (TBBK)



Time-Based Berasaskan Kecemerlangan TBBK ini sebenarnya telah mula diwar-warkan kepada pegawai bermula daripada tahun 2011 lagi. Kemudiannya melalui fasa tempoh peralihan sepanjang tahun 2012 bagi membolehkan pegawai melakukan persediaan dalam urusan kenaikan pangkat secara time-based berasaskan kepada kecemerlangan. Maka pada tahun 2013, bermula daripada 1 Januari bermulalah secara rasminya pelaksanaan TBBK ini.

Latar Belakang

1. Kerajaan telah bersetuju untuk menambah baik dan memperkukuhkan lagi kaedah kenaikan pangkat PPP berdasarkan prinsip TBBK sebagai kesinambungan kepada transformasi kecemerlangan dalam perkhidmatan perguruan.
2. PPP yang layak dinaikkan pangkat pada 1 Januari 2012 hingga 30 Jun 2013 adalah tertakluk kepada syarat kenaikan pangkat yang telah ditetapkan iaitu hanya mengambil kira markah LNPT dan tempoh perkhidmatan sahaja. Mulai 1 Julai 2013, penilaian tahap kecemerlangan dikuat kuasakan selaras dengan surat Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia JPA. BK (S) 255/4/5 Jld. 5 (56) bertarikh 13 April 2012 dan JPA.BK(S) 255/4/5 Jld. 7(13) bertarikh 10 Januari 2013.
3. Pelaksanaan Penilaian Tahap Kecemerlangan telah dikuatkuasakan selaras dengan surat JPA rujukan JPA.BK(S)134/4/8-4(74) bertarikh 22 Ogos 2013 mengenai Pemakluman Keputusan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pelajaran Bil.4 Tahun 2013 yang bersidang pada 17 Julai 2013.
4. Kenaikan pangkat TBBK dilaksanakan tanpa kekosongan jawatan setelah PPP memenuhi tempoh perkhidmatan dan syarat-syarat lain termasuk penilaian tahap kecemerlangan oleh Panel Penilai.
5. Kriteria Kecemerlangan ini telah dipersetujui bersama NUTP dan KONGRES dan telah diluluskan oleh LKPPP di JPA.
6. Tempoh perkhidmatan bagi kenaikan pangkat secara TBBK adalah seperti berikut:


Tujuan Pelaksanaan

1. Memaklumkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Perjawatan dan Gaji Pekerja-Pekerja Sektor Awam (JKK-MPGSA) Berhubung Pelaksanaan Penilaian Tahap Kecemerlangan Bagi Kenaikan Pangkat Secara Time-Based Berasaskan Kecemerlangan (TBBK) bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP).

2. Y.A.B. Perdana Menteri dalam mesyuarat JKK-MPGSA pada 7 Disember 2012 telah bersetuju agar tarikh kuatkuasa pemakaian Kriteria Tahap Kecemerlangan dalam urusan kenaikan pangkat secara TBBK dipinda kepada 1 Julai 2013.

3. Memaklumkan kelulusan Kaedah Pelaksanaan Penilaian Tahap Kecemerlangan Urusan Kenaikan Pangkat Secara Time-Based Berasaskan Kecemerlangan (TBBK) Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Dan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma di Kementerian Pendidikan Malaysia adalah berdasarkan surat JPA rujukan JPA.BK(S)134/4/8-4(74) bertarikh 22 Ogos 2013.

4. Menjelaskan kaedah pelaksanaan Kriteria Tahap Kecemerlangan kepada Panel Penilai dan Pegawai yang menguruskan urusan kenaikan pangkat PPP.


Pelaksanaan
 

1. Kriteria Tahap Kecemerlangan adalah berdasarkan 4 kategori PPP
-               Guru
-               Pensyarah
-               Ketua Jabatan/ Pengetua/ Ketua Unit/ Guru Besar/ Penolong Kanan
-               Lain-lain Pegawai



2. Wajaran Pemarkahan



Syarat Pemarkahan

1. Pencapaian keseluruhan (LNPT dan kriteria kecemerlangan) yang perlu dicapai adalah 80% dan ke atas

2. Kelulusan cadangan kriteria kecemerlangan bagi pelaksanaan TBBK di KPM adalah seperti jadual berikut:-

3. Mulai 1 Januari 2014, markah minimum LNPT diselaraskan kepada 80% bagi semua gred


Panel Penilai

1. Bertanggung jawab untuk menilai dan memperaku PPP yang layak untuk dipertimbangkan kenaikan pangkat.
2. Terdiri daripada Pengerusi dan sekurang-kurangnya dua (2) orang ahli atau lebih dalam jumlah yang ganjil.
3. Penilaian adalah berdasarkan dokumen yang telah disahkan dan dikepilkan bersama dengan Borang Penilaian Tahap Kecemerlangan.
4. Bersidang dalam tempoh yang ditetapkan.
5. Penilaian hendaklah dibuat di tempat bertugas semasa PPP.


Panel Rayuan

1. PPP yang tidak diperaku oleh Panel Penilai boleh mengemukakan rayuan dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan diterima dengan menggunakan Borang Rayuan.
2. Rayuan hanya boleh dibuat sekali (1) sahaja untuk sesuatu urusan penilaian tahap kecemerlangan.
3. Panel Rayuan bertanggung jawab untuk membuat penilaian semula ke atas pegawai yang tidak diperaku. Panel ini terdiri daripada Pengerusi dan seorang ahli sahaja.
4. Panel Rayuan hendaklah bersidang dalam tempoh tiga (3) bulan dari tarikh rayuan diterima.  Keputusan rayuan adalah berdasarkan semakan semula dokumen sokongan dan Borang Penilaian Tahap Kecemerlangan PPP.
5. Panel Rayuan perlu melengkapkan Borang Laporan Panel Rayuan Tahap Kecemerlangan dan mengemukakan keputusan rayuan kepada Ketua Jabatan dalam tempoh seminggu dari tarikh Panel Rayuan bersidang.
6. Ketua Jabatan hendaklah mengemukakan perakuan berdasarkan keputusan Panel Rayuan kepada urus setia BPSM di KPM untuk pertimbangan dan keputusan LKPPP.


Calon Gagal Urusan Kenaikan Pangkat

1. Bagi pegawai yang gagal dalam urusan kenaikan pangkat, Ketua Jabatan hendaklah mengemukakan semula perakuan kenaikan pangkat pegawai selepas tempoh satu (1) tahun dari tarikh pegawai pertama kali dipertimbangkan. Tarikh kuat kuasa kenaikan pangkat pegawai yang dipertimbangkan semula adalah tidak kurang satu (1) tahun daripada tarikh pegawai layak dinaikkan pangkat secara TBBK.