Visi Sekolah

Tuesday, June 17, 2014

Pendekatan kritis jana inovasi pelajar




Bercita-cita menjadi guru tidak lagi dilihat sebagai kerjaya tetapi lebih kepada pekerjaan membabitkan pendidikan berterusan yang diterima oleh guru kemudian disampaikan kepada murid menerusi kebolehan guru dalam mengadaptasi ilmu yang dipelajarinya ketika di universiti dan pengalaman sekeliling.

Naib Presiden International Institute of Management and Technology yang juga Tokoh Guru 2011, Datuk Profesor Ab Rahim Selamat menyifatkan seorang guru yang sempurna harus memenuhi ciri-ciri prinsip perguruan yang diterapkan.

Rahim berkata, tema Hari Guru 2014, Guru: Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi adalah selaras dengan sistem pendidikan moden abad ke-21, iaitu berfikiran kreatif dan kritis selain menggalakkan perkembangan sahsiah murid ke arah holistik dan seimbang. 

Justeru, jelas beliau, guru menjadi penggerak utama sebagai pencetus ilmu dan pemberi maklumat yang tepat dan jelas bagi membolehkan pengetahuan yang disampaikan diterima baik dengan menggunakan kaedah pembelajaran dalam kelas yang berkesan.

"Oleh itu guru hari ini kena memperluaskan ilmu pengetahuan mereka dengan memperbanyakkan bacaan tambahan, kreativiti dan pemikiran luas dan strategik bagi mencipta ilmu baharu bertaraf dunia.

"Untuk menjadi guru terbaik, bukan saja mengguna pakai etika pekerjaan semata-mata tetapi lebih kepada amalan iaitu ilmu, sikap, minat dan agama. Dengan adanya semua amalan itu, guru akan lebih berfikiran jauh dan berbakat dalam membangunkan anak bangsa yang bijak pandai dan berakhlak tinggi," katanya.

Guru harus ada inovasi
 
Ab Rahim yang menceburi bidang pendidikan sejak 1965 sebagai guru darjah Tingkatan Enam dan Peralihan itu berkata, selain mempunyai kreativiti, seorang guru harus ada inovasi terutama ketika sesi pembelajaran berlangsung di dalam kelas atau di luar kelas.

"Mereka tidak perlu menumpu sepenuh perhatian dengan cara mengajar rutin seperti yang dipraktikkan sejak zaman silam sedangkan inovasi memerlukan guru berpindah dari budaya rutin kepada penggunaan teknologi termasuk alam sekitar selain lebih mengutamakan pelanggan iaitu pelajar.

Sementara itu, guru perlu kreatif dalam mengubah pandangan masyarakat daripada terus menuding jari menyalahkan profesion perguruan sebagai punca pelajar tercicir pelajaran di sekolah.

Sebagai seorang bekas guru yang sudah berkhidmat dalam dunia pendidikan hampir 40 tahun, Phua Seng Tiong, 69, atau lebih dikenali sebagai Cikgu Phua di kalangan pelajar dan masyarakat sekitar, beliau mahu guru masa kini lebih komited dalam profesion itu.

Penerima Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2009 itu menganggap cabaran paling besar bagi seorang guru apabila terpaksa berdepan dengan pelajar yang mempunyai masalah sosial.

Ubah stigma masyarakat

"Nadi pendidikan adalah kita sebagai guru yang membentuk masa depan pelajar, bukan masa kini pelajar. Ubah stigma masyarakat yang sering menyalahkan guru kerana lemah membentuk pelajar.

"Peranan guru sangat besar selain ibu bapa dalam membantu pelajar mendapatkan masa depan cerah.

"Apabila melangkah ke sekolah, bawa peranan pendidikan tepat dan jelas supaya pelajar suka hadir ke sekolah," kata pesara guru yang berasal dari Batu Pahat, Johor itu.

Berpegang pada prinsip 'Management by Walking' (MBW), beliau sentiasa menggunakan pendekatan mesra dengan pelajar walaupun ketika bertugas sebagai pengetua kerana menganggap komitmen sebagai guru bukan sekadar mengajar tetapi memahami keperluan pelajar.

Sumber: BH