Visi Sekolah

Monday, June 28, 2010

Peranan Guru dalam Pelaksanaan NKRA


Tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melancarkan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang turut meliputi bidang pendidikan. Banyak yang telah disentuh mengenai intipati kepada sub-NKRA dalam pendidikan.


Jom kita baca sepintas lalu mengenai peranan guru dalam pelaksanaan NKRA yang saya rasakan sangat menarik untuk kita renungi bersama.


Berikut saya petik antara ucapan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom ( disiar dalam Majalah Pendidik, Jun 2010)


“Setiap guru sewajarnya melaksanakan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka dengan menampilkan ciri-ciri seperti bersikap profesional, mempamerkan ciri-ciri kekuatan teori, kaya ilmu, bertindak di atas landasan etika dan tatasusila kerja, bermoral teguh, sentiasa berusaha meningkatkan kualiti hasil pengajaran, prihatin dengan kehendak murid dan ibu bapa, berkebolehan menilai kekuatan dan kelemahan murid, melengkapkan diri dengan kemahiran yang sejajar dengan tuntutan semasa …”



“Setiap guru juga perlu menampilkan watak terpuji, berimej, berperibadi mulia, berwawasan sebagai pendidik unggul pada setiap masa, memastikan situasi guru mengajar murid belajar wujud di dalam kelas, berupaya melahirkan persekolahan berwatak supaya pelajar mempunyai kekuatan ilmu, berpersonaliti sihat dan serba boleh, berupaya membina minda pelajar yang cemerlang, berupaya membentuk perwatakan murid yang berakhlak mulia, berketrampilan, pandai menyesuaikan diri dengan situasi tertentu, taat dan setia terhadap perkhidmatannya, mempertahankan martabat profesionnya, bebas pendirian, profesional dan menumpukan perhatian kepada P&P di sekolah.”

Sunday, May 16, 2010

Perkhemahan Agung Unit-Unit Beruniform 2010



Satu perkhemahan unit-unit beruniform SMK Pahi telah berjaya diadakan pada 6 – 8 Mei 2010. Seramai lebih 240 orang pelajar dari 7 unit beruniform masing-masing telah menyertai perkhemahan ini. Unit Uniform yang terlibat ialah Kadet Polis, Kadet Remaja Sekolah (KRS), Kadet Bomba, Briget Bakti, Puteri Islam, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM)


Selain daripada guru yang bertindak sebagai urusetia dan AJK program perkhemahan ini, para pelajar tingkatan 6 seramai 22 orang juga telah dilibatkan sebagai pembantu urusetia kepada guru.


Antara aktiviti yang telah berjaya dijalankan ialah Aktiviti Pandu Arah / Kompas, Kemahiran ikatan tali, Senaman Malaysia Cergas, Tarian Poco-Poco, Kem Kraf, Aktivti Jalan Lasak, Merempuh Halangan, Mendaki menggunakan tali, Menyeberangi Sungai, Ikhtiar Hidup, Menjala Ikan, Sukaneka, Pertandingan Memasak dan Persembahan Kebudayaan.


Antara objektif Perkhemahan:

1. Meningkatkan disiplin dan motivasi di kalangan pelajar ke arah kecemerlangan diri.

2. Membentuk pelajar agar mempunyai jati diri, bersahsiah dan berperawakan yang menarik.

3. Meningkatkan kemahiran bersosial di kalangan pelajar.

4. Memupuk semangat perpaduan dan rasa bangga sebagai warga sekolah.

5. Mendedahkan kemahiran berorganisasi dan pengurusan kepada AJK pelajar yang bertindak sebagai urusetia/fasilitator sepanjang perkhemahan.


Jom kita tengok gambar sepanjang aktiviti perkhemahan berlangsung.


Zaassssss ..

































Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat, terutama kepada pihak AJK Induk dan AJK kerja.

Kepada semua guru, jasa dan tunjuk ajar sepanjang perkhemahan adalah satu amalan yang sangat mulia.

Kepada semua pelajar yang menyertai perkhemahan, moga ianya dapat memberikan pelajar suatu pengalaman, pengetahuan dan kemahiran yang boleh digunapakai pada suatu hari nanti.

Kepada urusetia pelajar Tingkatan 6, jadikan segalanya sebagai ilmu untuk merancang dan mengurus sesuatu program.

Terima kasih semua ...




Thursday, April 29, 2010

Program KelasKu Ceria JiwaKu Tenang


Sabtu lalu, masa akhir sebelum pulang - pihak sekolah telah mengadakan program KelasKu Ceria JiwaKu Tenang. Program berkenaan lebih kepada aktiviti gotong-royong kelas, khususnya dalam usaha untuk membersihkan habuk debu baru dan lama serta menceriakan lagi kelas.

Dalam program ini, Guru telahpun bersedia dengan pelbagai bahan untuk aktiviti program tersebut. Para pelajar bersama-sama guru kelas bersama-sama membersihkan kelas serta menceriakannya. Keratan-keratan akhbar, majalah, Kata-kata pujangga motivasi dan BBM telah ditampal pada setiap sudut sebagai bahan santapan mata dan rohani. Papan kenyataan kelas juga telah dikemaskinikan dan dihiasi bagi nampak lebih menarik lagi.


Kepada semua pelajar dan guru, pihak sekolah mengucapkan terima kasih dan berharap usaha ini akan berterusan sepanjang tahun. Usaha ini penting, kerana apabila kelas ceria dan bersih, suasana P&P akan berlaku dalam keadaan yang lebih menarik lagi. Udara pernafasan juga akan lebih segar … Bila udara dan suasana kelas kondusif, jiwa pelajar akan tenang untuk menerima dan melaksanakan setiap apa yang diajar oleh guru.