Mukkadimah
Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3)
adalah satu daripada komponen di bawah PBS yang diperkenalkan untuk
menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sebagai salah satu usaha kerajaan
memansuhkan sistem pendidikan yang terlalu berorientasikan peperiksaan.
Menerusi PT3, kreativiti para
pelajar akan dapat dikembangkan melalui penilaian berterusan di sekolah
berbanding dengan sistem peperiksaan sebelum ini.
Dalam wawancara Wartawan Utusan
Malaysia, FITRI AFFENDI MUSTAFA bersama tokoh pendidikan, TAN SRI DR. ABDUL
RAHMAN ARSHAD (gambar), beliau yakin sistem baharu itu dapat meningkatkan tahap
berfikir dan kreativiti para pelajar di negara ini.
UTUSAN: Kenapa perlu perkenal PBS?
Ada mana-mana negara yang sudah melaksanakan PBS dan bukan peperiksaan
bersepadu seperti sebelum ini?
ABDUL RAHMAN: PBS merupakan satu
langkah yang baik oleh kerajaan kerana cara peperiksaan sebelum ini
pelajar-pelajar hanya dibekalkan dengan pensel untuk menjawab soalan. Jika
negara kita mahu melahirkan masyarakat yang kreatif, kita perlu mengubah minda
pelajar-pelajar dengan menerapkan nilai perbincangan serta berfikir dan bukan hanya
sekadar meneka jawapan sahaja.
Kita jangan hanya mengambil kira
mengenai kurikulum semata-mata tetapi juga dalam aspek kokurikulum. Jika kita
hendak melahirkan masyarakat pemikir dan kreatif, kerajaan perlu menggalakkan
para pelajar untuk berbincang dan perkara ini hanya boleh dilakukan di sekolah.
Kita mahu para pelajar dapat berbincang dengan para penilai serta tidak mahu
pelajar-pelajar yang hanya menjawab soalan seperti sistem sebelum ini. Jadi,
kita mesti mengubah minda pelajar-pelajar supaya lebih berfikir. Sebenarnya
sistem seperti ini (PBS) sudah banyak dilaksanakan di negara lain. Malah, ini
juga bukan perkara baharu di seluruh negara kerana sebelum ini juga sudah ada
ujian bulanan dan tahunan dijalankan.
Sistem pendidikan kita sering
dikritik kononnya tidak cukup bagus berbanding negara jiran, Singapura dan
Indonesia dalam melahirkan pelajar yang berfikiran kritis. Adakah PBS
jawapannya?
Ya. Melalui PBS dapat melahirkan
para pelajar yang berfikir, proaktif dan kreatif disebabkan dahulu pelajar-pelajar
kurang berfikir apabila mereka lebih banyak meneka jawapan. Mereka hanya perlu
menanda jawapan peperiksaan yang dilihat tidak menggalakkan mereka berfikir.
Sebagai contoh, dalam PBS ini, akan menggalakkan para pelajar untuk berbincang.
Jadi, jika hendak berbincang mereka perlu ada ilmu pengetahuan dan nak dapat
pengetahuan itu pula mereka perlu mencarinya. Jadi, PBS mempunyai semua perkara
itu.
Apakah kebaikan Pentaksiran
Tingkatan 3 (PT3)?
Pelajar-pelajar harus diuji setiap
waktu. Ini kerana pengetahuan pelajar semakin bertambah dan mereka perlu
mendapat pengetahuan yang sesuai pada setiap waktu dan bukan hanya di peringkat
tingkatan tiga.
Oleh itu, melalui PT3, guru-guru
dapat menilai pelajar sejak awal. Sebagai contoh, pelajar yang baik, kita dapat
tingkatkan lagi prestasi mereka. Sementara yang kurang baik kita boleh bantu
mereka. Jika tiada penilaian sejak awal, kita tidak akan tahu yang mana pelajar
baik dan kurang baik. Guru-guru pula sentiasa mengajar tetapi kita tidak tahu
sejauh mana kebolehan para pelajar. Melalui penilaian ini (PT3), guru-guru akan
dapat tahu kelebihan serta kekurangan pelajar-pelajar agar kita dapat memajukan
pelajar supaya lebih baik serta membimbing mereka yang kurang baik.
Mengapa perlu diwujudkan PT3?
Objektif kerajaan adalah untuk
melahirkan masyarakat yang kreatif dan inovatif. Jika kita mahukan ini, kita
mesti mencipta sesuatu yang baharu. Kita tidak boleh mencipta sesuatu perkara
baharu jika pelajar tidak boleh berfikir. Hendak berfikir mesti ada
perbincangan dan kajian dan ini perubahan yang sedang dilakukan. Kita mahu
melahirkan masyarakat yang kreatif dan perkara itu tidak akan berlaku jika
mereka tidak boleh berfikir. Sekolah membekalkan ilmu pengetahuan, tetapi
kejayaan kita ialah dengan menggalakkan para pelajar untuk berfikir dengan
mengadakan perbincangan.
Apa kelebihan PT3 berbanding PMR
sebelum ini?
PMR banyak menumpukan peperiksaan
apabila para pelajar hanya memilih jawapan betul atau tidak betul dengan
pilihan yang diberikan. Sementara PT3, kita mahu menggalakkan pelajar-pelajar
untuk berbincang dan berfikir. PMR, mereka hanya tanda jawapan yang betul.
Dalam PT3, mereka akan berbincang dan menilai sesuatu tajuk. Perkara ini dapat
menilai tahap kebolehan pemikiran para pelajar.
Apakah kelebihan PT3 dalam membentuk
sahsiah pelajar?
PT3 bukan sahaja berkesan dalam
meningkatkan kemahiran akademik pelajar, malah sistem ini juga memberi nilai
tambah kepada bidang kokurikulum mereka sebagai perimbangan yang sempurna.
Sistem ini juga membantu jati diri
dan sikap mereka secara keseluruhan. Kesimpulannya, PT3 bersikap holistik dalam
memanfaatkan golongan pelajar di negara ini.
Melalui penilaian ini (PT3),
guru-guru akan dapat tahu kelebihan serta kekurangan pelajar-pelajar agar kita
dapat memajukan pelajar supaya lebih baik serta membimbing mereka yang kurang
baik.
Bagaimana PT3 dapat membantu
guru-guru menilai potensi para pelajar?
PT3 dapat memberi peluang kepada
guru-guru untuk menilai potensi sebenar para pelajar mereka melalui penilaian
yang dijalankan secara berterusan di sekolah.
Daripada situ, guru-guru dapat
membantu meningkatkan tahap pencapaian akademik para pelajar mereka yang lemah
sejak awal melalui sistem penilaian yang dijalankan secara berterusan. Perkara
ini bermakna, guru-guru akan dapat mengesan potensi dan kekurangan yang
terdapat dalam para pelajar mereka.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20140701/pe_02/PBS-PT3-asuh-pelajar-berbincang-berfikir-lebih-kreatif#ixzz36pSuzNyA
© Utusan Melayu (M) Bhd ARKIB : 01/07/2014