Visi Sekolah

Showing posts with label PBS. Show all posts
Showing posts with label PBS. Show all posts

Tuesday, July 8, 2014

Soal Jawab Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) bersama Tokoh Pendidikan

Mukkadimah

Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) adalah satu daripada komponen di bawah PBS yang diperkenalkan untuk menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sebagai salah satu usaha kerajaan memansuhkan sistem pendidikan yang terlalu berorientasikan peperiksaan.
Menerusi PT3, kreativiti para pelajar akan dapat dikembangkan melalui penilaian berterusan di sekolah berbanding dengan sistem peperiksaan sebelum ini.

Dalam wawancara Wartawan Utusan Malaysia, FITRI AFFENDI MUSTAFA bersama tokoh pendidikan, TAN SRI DR. ABDUL RAHMAN ARSHAD (gambar), beliau yakin sistem baharu itu dapat meningkatkan tahap berfikir dan kreativiti para pelajar di negara ini.




UTUSAN: Kenapa perlu perkenal PBS? Ada mana-mana negara yang sudah melaksanakan PBS dan bukan peperiksaan bersepadu seperti sebelum ini?

ABDUL RAHMAN: PBS merupakan satu langkah yang baik oleh kerajaan kerana cara peperiksaan sebelum ini pelajar-pelajar hanya dibekalkan dengan pensel untuk menjawab soalan. Jika negara kita mahu melahirkan masyarakat yang kreatif, kita perlu mengubah minda pelajar-pelajar dengan menerapkan nilai perbincangan serta berfikir dan bukan hanya sekadar meneka jawapan sahaja. 

Kita jangan hanya mengambil kira mengenai kurikulum semata-mata tetapi juga dalam aspek kokurikulum. Jika kita hendak melahirkan masyarakat pemikir dan kreatif, kerajaan perlu menggalakkan para pelajar untuk berbincang dan perkara ini hanya boleh dilakukan di sekolah. Kita mahu para pelajar dapat berbincang dengan para penilai serta tidak mahu pelajar-pelajar yang hanya menjawab soalan seperti sistem sebelum ini. Jadi, kita mesti mengubah minda pelajar-pelajar supaya lebih berfikir. Sebenarnya sistem seperti ini (PBS) sudah banyak dilaksanakan di negara lain. Malah, ini juga bukan perkara baharu di seluruh negara kerana sebelum ini juga sudah ada ujian bulanan dan tahunan dijalankan.

Sistem pendidikan kita sering dikritik kononnya tidak cukup bagus berbanding negara jiran, Singapura dan Indonesia dalam melahirkan pelajar yang berfikiran kritis. Adakah PBS jawapannya?

Ya. Melalui PBS dapat melahirkan para pelajar yang berfikir, proaktif dan kreatif disebabkan dahulu pelajar-pelajar kurang berfikir apabila mereka lebih banyak meneka jawapan. Mereka hanya perlu menanda jawapan peperiksaan yang dilihat tidak menggalakkan mereka berfikir. Sebagai contoh, dalam PBS ini, akan menggalakkan para pelajar untuk berbincang. Jadi, jika hendak berbincang mereka perlu ada ilmu pengetahuan dan nak dapat pengetahuan itu pula mereka perlu mencarinya. Jadi, PBS mempunyai semua perkara itu.

Apakah kebaikan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3)?

Pelajar-pelajar harus diuji setiap waktu. Ini kerana pengetahuan pelajar semakin bertambah dan mereka perlu mendapat pengetahuan yang sesuai pada setiap waktu dan bukan hanya di peringkat tingkatan tiga. 

Oleh itu, melalui PT3, guru-guru dapat menilai pelajar sejak awal. Sebagai contoh, pelajar yang baik, kita dapat tingkatkan lagi prestasi mereka. Sementara yang kurang baik kita boleh bantu mereka. Jika tiada penilaian sejak awal, kita tidak akan tahu yang mana pelajar baik dan kurang baik. Guru-guru pula sentiasa mengajar tetapi kita tidak tahu sejauh mana kebolehan para pelajar. Melalui penilaian ini (PT3), guru-guru akan dapat tahu kelebihan serta kekurangan pelajar-pelajar agar kita dapat memajukan pelajar supaya lebih baik serta membimbing mereka yang kurang baik.

Mengapa perlu diwujudkan PT3?

Objektif kerajaan adalah untuk melahirkan masyarakat yang kreatif dan inovatif. Jika kita mahukan ini, kita mesti mencipta sesuatu yang baharu. Kita tidak boleh mencipta sesuatu perkara baharu jika pelajar tidak boleh berfikir. Hendak berfikir mesti ada perbincangan dan kajian dan ini perubahan yang sedang dilakukan. Kita mahu melahirkan masyarakat yang kreatif dan perkara itu tidak akan berlaku jika mereka tidak boleh berfikir. Sekolah membekalkan ilmu pengetahuan, tetapi kejayaan kita ialah dengan menggalakkan para pelajar untuk berfikir dengan mengadakan perbincangan.

Apa kelebihan PT3 berbanding PMR sebelum ini?

PMR banyak menumpukan peperiksaan apabila para pelajar hanya memilih jawapan betul atau tidak betul dengan pilihan yang diberikan. Sementara PT3, kita mahu menggalakkan pelajar-pelajar untuk berbincang dan berfikir. PMR, mereka hanya tanda jawapan yang betul. Dalam PT3, mereka akan berbincang dan menilai sesuatu tajuk. Perkara ini dapat menilai tahap kebolehan pemikiran para pelajar. 

Apakah kelebihan PT3 dalam membentuk sahsiah pelajar?

PT3 bukan sahaja berkesan dalam meningkatkan kemahiran akademik pelajar, malah sistem ini juga memberi nilai tambah kepada bidang kokurikulum mereka sebagai perimbangan yang sempurna.

Sistem ini juga membantu jati diri dan sikap mereka secara keseluruhan. Kesimpulannya, PT3 bersikap holistik dalam memanfaatkan golongan pelajar di negara ini.

Melalui penilaian ini (PT3), guru-guru akan dapat tahu kelebihan serta kekurangan pelajar-pelajar agar kita dapat memajukan pelajar supaya lebih baik serta membimbing mereka yang kurang baik.

Bagaimana PT3 dapat membantu guru-guru menilai potensi para pelajar?

PT3 dapat memberi peluang kepada guru-guru untuk menilai potensi sebenar para pelajar mereka melalui penilaian yang dijalankan secara berterusan di sekolah. 

Daripada situ, guru-guru dapat membantu meningkatkan tahap pencapaian akademik para pelajar mereka yang lemah sejak awal melalui sistem penilaian yang dijalankan secara berterusan. Perkara ini bermakna, guru-guru akan dapat mengesan potensi dan kekurangan yang terdapat dalam para pelajar mereka.

Tuesday, April 1, 2014

Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) Ganti PMR.



Antara Penambahbaikan PBS Baru 2014 : 
Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) masih diteruskan dengan tiga penambahbaikan berkuatkuasa 1 April.
1.    Pertama, Dokumen Standard Prestasi (DSP) digantikan dengan Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid sekaligus menyelesaikan masalah guru terikat dengan bilangan pernyataan deskriptor dan pernyataan evidens yang banyak. Sedangkan Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid hanya berdasarkan tema, tajuk atau kemahiran mata pelajaran yang perlu dikuasai oleh murid.
2.    Kedua, Guru tidak lagi perlu mengisi data penguasaan murid menerusi Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) secara online. Sebaliknya, guru boleh merekodkan perkembangan pembelajaran secara offline. Menerusi PBS baru 2014 juga, peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Tingkatan Tiga akan digantikan dengan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).
3.    Ketiga, guru tidak lagi menyediakan Fail Perkembangan Murid (FPM) dan melengkapkan Rekod Transit yang tidak jelas sehingga mengganggu tugas mengajar golongan berkenaan. Di mana perekodan perkembangan pembelajaran murid boleh dilakukan mengikut kesesuaian masa guru selepas ini.

 Cara Pelaksanaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3)


1.    Bermula tahun 2014, Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) diganti dengan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3)
2.    Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) akan dilaksanakan di peringkat sekolah
3.    Tiada lagi peperiksaan berpusat untuk pelajar Tingkatan 3 seperti Peperiksaan Menengah RendaH (PMR) sebelum ini
4.    Sistem Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), pihak sekolah akan mentadbir, mentaksir dan memberi skor terhadap pentaksiran itu berpandukan instrumen dan panduan peraturan penskoran yang setara disediakan oleh Lembaga Peperiksaan (LP).
5.    LP dan pentaksir luar yang dilantik oleh LP akan melaksanakan moderasi dan verifikasi sebelum pelaporan dikeluarkan
6.    Mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris akan dilaksanakan dengan menggunakan instrumen pentaksiran ujian bertulis dan ujian lisan
7.    Mata pelajaran Sains, Matematik, Pendidikan Islam, Kemahiran Hidup, Bahasa Arab, Cina, Tamil, Iban dan Kadazandusun akan menggunakan instrumen pentaksiran ujian bertulis sahaja
8.    Mata pelajaran Sejarah dan Geografi pula akan ditaksir menggunakan pelbagai instrumen seperti tugasan bertulis, ujian amali, projek, kajian lapangan atau kajian kes

 Cara Kemasukan ke SBP, MRSM, SMKA, SMT, Vokasional Berdasarkan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3)
§  Kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) termasuk Sekolah Menengah Teknik (SMT) dan Kolej Vokasional akan ditentukan berdasarkan keputusan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) & juga Ujian Psikometrik bagi memastikan pemilihan dan penempatan murid bersesuaian dengan kemampuan dan minat mereka
§  Pihak sekolah akan memaklumkan keputusan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) seseorang pelajar pada akhir tahun, pelajar boleh mohon slip keputusan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) untuk ke mana-mana sekolah berasrama penuh contohnya.

Thursday, March 20, 2014

Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) diganti dengan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3)

KENYATAAN MEDIA
YAB MENTERI PENDIDIKAN TAN SRI MUHYIDDIN MOHD YASSIN MENGENAI PENAMBAHBAIKAN PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH (PBS)
18 March 2014


Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) amat prihatin terhadap isu pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang telah dibangkitkan oleh guru-guru.
PBS merupakan dasar yang melibatkan pentaksiran secara menyeluruh (holistik) terhadap pencapaian murid yang terangkum menerusi empat komponen pentaksiran iaitu Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Pusat (PP).
Selain itu PBS merupakan sistem pentaksiran yang akan digunakan bagi menjamin pencapaian seseorang murid supaya tidak lagi dinilai berasaskan peperiksaan semata-mata.
Jemaah Menteri pada Disember 17, 2010 telah bersetuju supaya PBS dilaksanakan sebagai sebahagian daripada program transformasi pendidikan. Pengoperasian PBS mula dilaksanakan di sekolah rendah  pada sesi persekolahan tahun 2011 dan sekolah menengah  pada sesi persekolahan tahun 2012.
Walaubagaimanapun, pada 11 Februari tahun ini, KPM telah membuat keputusan untuk menangguhkan PBS dan mengkaji semula pelaksanaannya.
Ini adalah kerana guru-guru  menyatakan bahawa mereka  dibebankan dengan kesibukan mengisi dan merekodkan penilaian pelajar ke dalam sistem komputer berpusat yang menjadi bebanan kepada mereka, manakala ibubapa pula tidak pasti bagaimana murid dinilai terutama pelajar tingkatan 3 tahun ini yang merupakan kohort pertama melalui PBS.
Penangguhan ini adalah untuk mengenalpasti permasalahan yang ditimbulkan ekoran daripada rungutan guru-guru dan ibu-bapa dan mengambil langkah-langkah yang perlu dan segera dalam penambahbaikan PBS.
Ekoran dari kajian semula PBS, KPM telah mengambil langkah proaktif dengan mengadakan beberapa siri perbincangan dan pertemuan dengan kesatuan-kesatuan guru serta beberapa kelompok guru-guru  untuk mendapatkan maklum balas dan membantu dalam memberi input kepada penambahbaikan PBS.

Isu-isu pelaksanaan PBS
Berdasarkan kajian KPM dan input daripada guru-guru dan kesatuan-kesatuan guru, didapati terdapat tiga isu utama  berkaitan perlaksanaan pentaksiran sekolah.

Pertama, ialah penggunaan Dokumen Standard Prestasi (DSP) yang menyebabkan guru terikat dengan bilangan pernyataan deskriptor dan pernyataan evidens yang banyak.   
Bagi menangani isu ini, KPM telah menetapkan DSP dipermudahkan menjadi Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid.
Guru mengajar menggunakan kurikulum kebangsaan yang dibangunkan berdasarkan tema, tajuk atau kemahiran mata pelajaran yang perlu dikuasai oleh murid. Guru seterusnya mentaksir perkembangan pembelajaran murid berdasarkan pemerhatian dan penilaian mereka sendiri dengan merujuk kepada Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid tersebut.
Guru boleh merekodkan tahap penguasaan murid mengikut kesesuaian masa dan kaedah mereka sendiri. Perekodan ini menggambarkan perkembangan pembelajaran murid semasa proses pengajaran dan pembelajaran yang boleh dimaklumkan kepada ibu bapa. Dengan yang demikian, guru tidak lagi dibebankan dengan pengumpulan data dan evidens hasil kerja murid melalui pernyataan evidens yang terlalu kompleks.
Bagi ibu bapa yang ingin mengetahui tahap pencapaian anak-anak mereka, pihak sekolah boleh menyediakan pelaporan pencapaian dengan mengadakan ujian bulanan, peperiksaan pertengahan tahun atau peperiksaan akhir tahun sekolah.

Isu kedua ialah pengurusan fail yang rencam meliputi Fail Perkembangan Murid (FPM) dan Rekod Transit.
Bagi menangani masalah ini, guru tidak perlu lagi menyediakan FPM dan melengkapkan Rekod Transit. Perekodan perkembangan pembelajaran murid boleh dilakukan mengikut kesesuaian masa guru.

Ketiga, perekodan prestasi murid melalui Sistem Pengurusan PBS (SPPBS) secara atas talian (online) yang sukar diakses dan memakan masa yang lama.

Oleh kerana bilangan pernyataan deskriptor dan evidens telah dikurangkan, secara otomatik guru-guru tidak akan dibebankan dengan kesibukan mengisi dan merekodkan penilaian pelajar ke dalam sistem komputer berpusat.   
Bagi memastikan guru memberi fokus terhadap pengajaran dan pembelajaran, guru tidak perlu lagi mengisi data penguasaan murid menerusi SPPBS secara online seperti sebelum ini. Guru boleh merekodkan perkembangan pembelajaran murid secara offline.
Menerusi PBS juga, peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Tingkatan 3 akan digantikan dengan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3). Ini bermakna tiada peperiksaan berpusat untuk pelajar Tingkatan 3 yang akan dilaksanakan di peringkat sekolah.
PT3 bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris akan dilaksanakan dengan menggunakan instrumen pentaksiran ujian bertulis dan ujian lisan. Manakala mata pelajaran ScienceMathematics, Pendidikan Islam, Kemahiran Hidup, Bahasa Arab, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Iban dan Bahasa Kadazandusun akan menggunakan instrumen pentaksiran ujian bertulis sahaja. Mata pelajaran Sejarah dan Geografi pula akan ditaksir menggunakan pelbagai instrumen seperti tugasan bertulis (assignment), ujian amali (practical test), projek, kajian lapangan (field study) atau kajian kes (case study). 
Melalui PT3, pihak sekolah akan mentadbir, mentaksir dan memberi skor terhadap pentaksiran tersebut berpandukan instrumen dan panduan peraturan penskoran yang setara (standardised) yang disediakan oleh pihak Lembaga Peperiksaan (LP). LP dan pentaksir luar yang dilantik oleh LP akan melaksanakan moderasi dan verifikasi sebelum pelaporan dikeluarkan.
Moderasi ialah suatu proses menyelaras markah yang diberi oleh beberapa orang pemeriksa ke atas hasil kerja murid bagi mendapatkan satu markah yang dipersetujui bersama. Persetujuan ini adalah berdasarkan peraturan pemarkahan yang disediakan dan merupakan prosedur untuk memastikan ketekalan (konsistensi) pemberian markah antara pemeriksa. Verifikasi pula ialah proses menentusahkan markah yang diperoleh murid adalah markah yang selayaknya diterima.

PT3 ini juga akan digunakan sebagai asas untuk menentukan kemasukan murid-murid ke tingkatan 4 sama ada di Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) termasuk Sekolah Menengah Teknik (SMT) dan Kolej Vokasional. Di samping PT3, kemasukan ke sekolah-sekolah tersebut juga menggunakan Ujian Psikometrik bagi memastikan pemilihan dan penempatan murid bersesuaian dengan kemampuan dan minat mereka.

Untuk memastikan PBS yand telah di tambahbaik ini dapat dilaksanakan dengan berkesan dan seperti yang dihasratkan, KPM akan mengadakan taklimat secara terperinci tentang konsep dan pelaksanaannya kepada pegawai-pegawai di Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, pentadbir dan guru-guru.
Latihan adalah satu aspek utama dalam memastikan guru dapat melaksanakan pentaksiran. Oleh itu, KPM akan berusaha mengadakan latihan supaya guru memahami konsep pentaksiran dan mengamalkannya dalam proses pengajaran dan pembelajaran.  Selain daripada itu, KPM juga akan mengadakan latihan bagi meningkatkan kemahiran guru memeriksa jawapan murid.

Penambahbaikan PBS akan di laksanakan mulai April 1.

Muat Turun


Wednesday, March 19, 2014

PENTAKSIRAN TINGKATAN 3 GANTI PMR 2014


PENILAIAN MENENGAH RENDAH (PMR) DIGANTIKAN PENTAKSIRAN TING. 3
MULAI TAHUN 2014




Kementerian Pendidikan akan menggantikan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah untuk pelajar Tingkatan 3 dengan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang hanya dilaksanakan di peringkat sekolah.

Pengenalan PT3 ini dibuat dibawah Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang ditambahbaik berkuatkuasa 1 April 2014.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin berkata, melalui PT3 pihak sekolah akan mentadbir, mentaksir dan memberi skor terhadap pentaksiran tersebut berpandukan instrumen dan panduan peraturan penskoran setara (standardise) disediakan oleh Lembaga Peperiksaan.

"Walaupun PMR digantikan dengan PT3, tarikah peperiksaan tetap masih ada seperti yang dirancang dalam PBS lama. Lembaga Peperiksaan tetap akan menyediakan soalan-soalan dan diletakkan di dalam 'bank soalan' yang pelbagai dari soalan mudah hingga sukar.

"Pemilihan soalan digunakan melalui PT3 juga perlu pelbagai dalam memastikan semua jenis soalan akan digunakan sekolah-sekolah bagi memastikan kualiti pentaksiran dibuat terhadap pelajar Tingkatan 3,'' katanya pada sidang media penambahbaikan PBS di Parlimen pada hari ini.
PT3 bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris akan dilaksanakan dengan menggunakan instrumen pentaksiran ujian bertulis dan ujian lisan.

Mata pelajaran Sains, Matematik, Pendidikan Islam, Kemahiran Hidup,Bahasa Arab, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Iban dan Bahasa Kadazandusun menggunakan pentaksiran bertulis sahaja.

Manakala, mata pelajaran Sejarah dan Geografi pula akan ditaksirkan menggunakan pelbagai instrumen seperti tugasan bertulis, ujian amali, projek, kajian lapangan atau kajian kes.

Dalam masa yang sama, Lembaga Peperiksaan dan pentaksir luar yang dilantik lembaga akan melaksanakan moderasi dan verifikasi sebelum pelaporan dikeluarkan.

Muhyiddin berkata, moderasi adalah proses menyelaras markah diberi beberapa orang pemeriksa ke atas hasil kerja pelajar bagi mendapatkan satu markah yang dipersetujui bersama.

"Persetujuan ini adalah berdasarkan peraturan permarkahan yang disediakan dan merupakan prosedur untuk memastikan konsistensi pemberian markah anatara pemeriksa.

"Verifikasi pula ialah proses mengesahkan markah yang diperoleh pelajar adalah layak diterima,'' jelasnya.

Tambah Muhyiddin, PT3 juga digunakan sebagai asas menentukan kemasukan murid-murid Tingkatan 4 sama ada di Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) termasuk Sekolah Menengah Teknik (SMT) dan Kolej Vokasional.

Katanya, selain PT3, kemasukan ke sekolah-sekolah tersebut juga menggunakan Ujian Psikometrik bagi memastikan pemilihan dan penempatan murid bersesuaian dengan kemampuan dan minat mereka.


Thursday, September 6, 2012

Soal jawab berhubung Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) Tingkatan 1




PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH (PBS) TINGKATAN 1



1. Soalan: Apa itu PBS?

Jawapan: PBS merupakan satu bentuk pentaksiran yang bersifat holistik iaitu
menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor
(jasmani) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Kurikulum
Standard Sekolah Rendah (KSSR). PBS mentaksir bidang akademik dan bukan
akademik

PBS merupakan satu bentuk pentaksiran yang dilaksanakan di sekolah secara
terancang mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan.

PBS dikendalikan oleh pihak sekolah dan pentaksirannya dilaksanakan oleh guru-
guru mata pelajaran secara berterusan dalam proses pengajaran dan
pembelajaran.

Komponen PBS terdiri daripada Pentaksiran Sekolah, Pentaksiran Pusat,
Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum, dan Pentaksiran
Psikometrik.

2. Soalan: Adakah konsep PBS ini sesuatu yang baru?

Jawapan: Konsep PBS bukanlah sesuatu yang baru, kerana pentaksiran inilah
yang selama ini dilaksanakan oleh guru di sekolah (kerja rumah, projek, kuiz,
soal-jawab dan lain-lain). PBS yang dicadangkan ini merupakan penambahbaikan
kepada PBS yang telah sedia dilaksana dengan memperkenalkan pentaksiran
merujuk standard dan aplikasi Sistem Pengurusan PBS (SPPBS) untuk membantu
guru merekod pencapaian murid secara berterusan.

3. Soalan: Kenapa PBS perlu dilaksana sekarang?

Jawapan: Pelaksanaan PBS adalah seiring dengan program transformasi negara
untuk menghasilkan modal insan yang bertaraf dunia.

4. Soalan: Bila PBS mula dilaksanakan?

Jawapan: PBS dilaksanakan mulai Tahun 1 pada 2011 dan penambahbaikan
UPSR pada 2016, mulai Tingkatan 1 pada 2012 dan penambahbaikan PMR pada
2014.


5. Soalan: Apakah perbezaan antara PBS dengan pentaksiran sedia ada?

Jawapan
:

• PBS adalah lebih holistik dan memberi penekanan kepada kesemua aspek
JERI iaitu jasmani, emosi, rohani dan intelek berbanding kepada pentaksiran
sedia ada yang lebih memberi penumpuan kepada pencapaian akademik
melalui peperiksaan. PBS akan mentaksir proses dan produk secara formatif
dan sumatif iaitu mengamalkan konsep assessment for learning dan
assessment of learning manakala fokus utama pentaksiran sedia ada lebih
kepada pencapaian akademik murid di akhir pembelajaran yang merupakan
assessment of learning.


• Dalam usaha penambahbaikan kepada pentaksiran sekolah sedia ada,
Pentaksiran Rujukan Standard diperkenalkan, iaitu menggunakan Standard
Prestasi untuk melihat kemajuan dan pertumbuhan (growth) pembelajaran
serta pencapaian prestasi seseorang murid. Ia merupakan proses
mendapatkan maklumat tentang sejauh mana murid tahu, faham dan boleh
buat atau telah menguasai apa yang dipelajari berdasarkan pernyataan
standard prestasi yang ditetapkan mengikut tahap-tahap pencapaian seperti
yang dihasratkan dalam dokumen kurikulum.


Pentaksiran Rujukan Standard tidak membandingkan pencapaian seseorang
murid dengan murid lain tetapi melapor prestasi murid dalam pembelajaran
dengan menerangkan tentang kemajuan dan pertumbuhan (growth) murid
dalam pembelajaran merujuk kepada pernyataan standard.


• PBS juga memberi pengiktirafan dan autonomi kepada guru untuk
melaksanakan pentaksiran formatif dan sumatif yang berasaskan sekolah. Ini
akan dapat meningkatkan integriti dan kredibiliti profesion perguruan kerana
guru merupakan orang yang paling sesuai untuk mentaksir murid masing-
masing kerana mereka:

- boleh memantau perkembangan murid secara berterusan
- boleh memberi maklum balas yang membina untuk penambahbaikan
  pembelajaran murid
- lebih memahami konteks yang sesuai dengan persekitaran dan
  perkembangan murid
- mentaksir dan memberi maklum balas berpandukan standard prestasi


6. Soalan: Apakah standard prestasi?

Jawapan
: Standard Prestasi merupakan satu pernyataan yang menerangkan
tentang pencapaian atau penguasaan seseorang individu dalam sesuatu bidang
yang telah dilalui dalam satu tempoh pembelajaran berdasarkan satu penanda
aras (benchmark) yang telah dikenal pasti. Standard Prestasi memandu pentaksir  bagaimana aktiviti pentaksiran boleh dan dapat dilaksanakan secara adil dan berfokus merujuk kepada standard yang ditetapkan.

7. Soalan: Bagaimana penjaminan kualiti PBS dapat dilaksanakan?

Jawapan:

Penjaminan kualiti bagi pelaksanaan PBS dapat dicapai melalui:
• Pementoran
• Penyelarasan
• Pemantauan
• Pengesanan

• Pementoran PBS adalah proses membantu, memudah cara dan membimbing
guru untuk melaksanakan PBS mengikut prinsip dan prosedur pelaksanaan
yang ditetapkan.

• Pemantauan ialah satu proses untuk mendapatkan maklumat dan
memastikan pentaksiran dilaksanakan mengikut prosedur dan garis panduan
yang ditetapkan agar mempunyai kesahan dan kebolehpercayaan.

• Penyelarasan PBS adalah proses penyeragaman skor merujuk kepada
Standard Prestasi yang disediakan atau berdasarkan rubrik sesuatu tugasan.

• Pengesanan PBS adalah proses memastikan kekuatan dan keberkesanan
instrumen pentaksiran dalam pelaksanaan PBS.

8. Soalan: Bagaimana ibu bapa mendapat maklum balas mengenai perkembangan  pembelajaran anak-anak mereka?

Jawapan
: Laporan deskriptif dan formatif dapat dibuat melalui SPPBS pada bila-bila masa sekiranya diperlukan. Sistem ini juga menyimpan maklumat
perkembangan murid daripada Tahun 1 hinggalah ke Tingkatan 5 (life-time data
base).

9. Soalan: Bagaimana hasil pentaksiran berguna untuk murid?

Jawapan: Maklum balas yang diberi berdasarkan standard prestasi boleh
membantu murid mengenalpasti kekuatan, kelemahan, kesilapan dan apa yang
perlu dibaiki, bagaimana perlu diperbaiki untuk memberi hasil yang lebih baik.

Maklum balas yang memberi makna boleh membantu murid tentang tujuan dan
perkembangan pembelajaran mereka. Keadaan inilah yang memberi motivasi
untuk mencuba lagi bagi meningkatkan prestasi mereka di masa hadapan.

10. Soalan: Apakah nilai UPSR dan PMR dalam PBS?

Jawapan: PBS untuk penambahbaikan UPSR dan PMR masih tetap bernilai dari
segi pembentukan modal insan yang holistik tetapi tidak lagi high stake kerana
pentaksiran dijalankan secara berterusan dan menyeluruh.

11. Soalan: Bolehkah pentaksiran yang dibuat guru dipercayai?

Jawapan: Guru merupakan orang yang paling sesuai untuk mentaksir murid
masing-masing kerana mereka:

- boleh memantau perkembangan murid secara berterusan
- boleh memberi maklum balas yang membina untuk penambahbaikan
  pembelajaran murid
- lebih memahami konteks yang sesuai dengan persekitaran dan
  perkembangan murid
- mentaksir dan memberi maklum balas berpandukan standard prestasi

12. Soalan: Apakah guru sudah bersedia untuk melaksanakan PBS?

Jawapan: Setiap guru merupakan guru terlatih yang mempunyai asas
pengajaran dan pembelajaran tetapi akan diberi pendedahan semula tentang
Pentaksiran Berasaskan Sekolah.


13. Soalan: Apakah komponen PBS?

Jawapan: PBS merangkumi empat komponen iaitu pentaksiran pusat,pentaksiran sekolah,pentaksiran aktiviti jasmani,sukan dan kokurikulum dan pentaksiran psikometrik.

14. Soalan: Apakah PBS akan menambah beban tugas guru?

Jawapan: Pihak LP telah menyediakan dua system aplikasi untuk membantu guru-guru.

15. Soalan: Kenapa PBS dilaksana? Kenapa sekarang?

Jawapan: Seiring dengan program transformasi negara untuk menghasilkan modal insan yang bertaraf dunia.

16. Soalan: Bila PBS mula dilaksanakan?

Jawapan: Mulai Tahun 1 pada 2011 dan penambahbaikan UPSR 2016. Mulai Tingkatan 1 pada 2012 dan PMR sepenuhnya pada 2014.

17. Soalan: Apakah asas pemilihan murid untuk kemasukan ke sekolah berasrama penuh?

Jawapan: Ujian khas kemasukan ke asrama penuh akan diperkenalkan dan akan diuruskan oleh Bahagian-bahagian KPM yang berkenaan.

18. Soalan: Bagaimana penjaminan kualiti PBS dapat dilaksanakan?

Jawapan: Pementoran ialah satu usaha untuk memastikan wujudnya kefahaman di kalangan pentaksir supaya skor yang diperoleh mempunyai darjah kesahihan dan kebolehpercayaan yang tinggi. Pementoran dijalankan secara berterusan bersama Jurulatih Utama pentaksiran dengan tujuan memantapkan dan menambahbaik pengetahuan, kefahaman dan kesefahaman berhubung perkara yang ditaksir, kriteria yang dirujuk, evidens yang dicari, instrumen yang digunakan dan kaedah pemberian skor.

Pemantauan ialah satu proses untuk mendapatkan maklumat dan memastikan pentaksiran dilaksanakan mengikut prosedur dan jadual yang ditetapkan agar mempunyai kesahan dan kebolehpercayaan.

Pengesanan ialah proses menilai komponen Pentaksiran Pusat dari segi pencapaian objektif, kekuatan dan kelemahan instrumen serta impaknya untuk tujuan memperbaiki program Pentaksiran Pusat.

Penyelarasan diperingkat sekolah merujuk kepada proses pemberian skor kepada konstruk yang ditaksir berdasarkan skema pemarkahan. Ia adalah untuk memastikan keselarasan kefahaman terhadap konstruk dan skema pemarkahan tersebut. Sesi penyelarasan akan diatur mengikut prosedur yang ditetapkan dan akan diwakili oleh semua guru yang terlibat dengan PBS.

19. Soalan: Apakah peranan Pentaksiran Psikometrik?

Jawapan: Maklumat yang bersifat akademik dan peribadi diperlukan untuk membantu pembelajaran murid.

Pentaksiran Psikometrik melengkapkan keperluan ini dengan mendapatkan data selain daripada pencapaian akademik. Maklumat yang memperihalkan kepelbagaian ciri peribadi dan potensi murid ini dapat memberi panduan kepada ibu bapa, guru dan murid untuk lebih memahami murid itu supaya pembelajaran boleh dipertingkatkan. Selain digunakan untuk mengenal pasti dan mengasah kebolehan atau bakat terpendam murid dapat dipertingkat dan dimanfaat manakala kelemahan murid dapat diperbaiki.

Pentaksiran Psikometrik boleh mengukur kebolehan semula jadi (innate ability) dan kebolehan yang diperoleh (acquired ability) daripada pengalaman dan persekitaran murid. Pentaksiran Psikometrik tidak berasaskan kurikulum dan proses pengajaran dan pembelajaran.

20. Soalan: Apakah standard kurikulum?

Jawapan: Penyataan standard tentang apa yang murid patut tahu dan boleh buat seperti yang terkandung dalam KSSR:

- standard kurikulum terdiri daripada standard kandungan dan standard pembelajaran
- standard kandungan adalah apa yang murid patut tahu, faham dan boleh buat
- standard pembelajaran adalah apa yang murid perlu belajar dan boleh dilihat melaui tingkah laku

21. Soalan: Apakah standard prestasi?

Jawapan:
- standard prestasi menunjukkan tahap penguasaan dan kualiti kerja murid
- standard prestasi memberi makna kepada band yang dicapai murid

22. Soalan: Bolehkah pentaksiran yang dibuat guru dipercayai?

Jawapan: Guru merupakan orang yang paling sesuai untuk mentaksir murid masing-masing kerana mereka:

-Boleh memantau perkembangan murid secara berterusan
-Boleh member maklum balas yang membina untuk penambahbaikan pembelajaran murid
-Lebih memahami konteks yang sesuai dengan persekitaran dan perkembangan murid
-Mentaksir dan member maklum balas berpandukan standard prestasi

23. Soalan: Apakah guru sudah bersedia untuk melaksanakan PBS?

Jawapan: Setiap guru merupakan guru terlatih yang mempunyai asas pengajaran dan pembelajaran tetapi akan diberikan pendedahan semula tentang pentaksiran berasaskan sekolah.

24. Bagaimana ibu bapa mendapat maklum balas mengenai perkembangan pembelajaran anak-anak mereka?

Jawapan: Laporan deskriptif dan formatif dapat dibuat melalui system aplikasi pada bila-bila masa sekiranya diperlukan.Sistem ini juga menyimpan maklumat perkembangan murid daripada Tahun 1 hinggalah ke Tingkatan 5 (life-time data base)

25. Soalan: Apakah nilai UPSR dan PMR?

Jawapan: UPSR dan PMR dalam SPPK masih tetap bernilai dari segi pembentukan modal insane yang holistik tetapi tidak lagi high stake kerana pentaksiran dijalankan secara berterusan dan menyeluruh.

26. Soalan: Adakah guru menggunakan standard dalam kurikulum atau standard prestasi untuk mengajar?

Jawapan: Guru hendaklah menggunakan standard dalam kurikulum untuk mengajar manakala menggunakan standard prestasi untuk mentaksir.

27. Soalan: Bagaimana ibu bapa boleh memahami laporan yang disediakan?

Jawapan: Guru akan menerangkan perkembangan anak mereka berdasarkan evidens dan deskriptor dalam portfolio anak masing-masing. Laporan adalah berbentuk diskriptif.

28. Soalan: Bagaimana PBS akan dilaksanakan jika kemudahan komputer dan internet tiada di sekolah?

Jawapan: Sistem akan desediakan dalam bentuk standalone dan data dihantar dalam bentuk text file dalam CD.

29. Soalan: Bagaimana hasil pentaksiran berguna untuk murid?

Jawapan: Maklum balas yang diberi berdasarkan standard prestasi boleh membantu murid mengenalpasti kekuatan,kelemahan,kesilapan dan apa yang perlu dibaiki, bagaimana perlu diperbaiki untuk memberi hasil yang lebih baik.

Maklum balas yang memberi makna boleh membantu murid tentang tujuan dan perkembangan pembelajaran mereka. Keadaan inilah yang memberi motivasi untuk mencuba lagi bagi meningkatkan prestasi mereka di masa hadapan.


30. Soalan: Apakah PMR akan digunakan sebagai indikator untuk pemilihan aliran di peringkat menengah atas?

Jawapan: Lima komponen pentaksiran dalam SPPK dapat memberi kepelbagaian maklumat secara komprehensif bagi membantu murid membuat pemilihan aliran yang lebig tepat.

31. Soalan: Adakah PBS mengambil kira murid berkeperluan khas dalam pelaksanaannya?

Jawapan: PBS mengambil kira murid berkeperluan khas dengan menyediakan kaedah dan instrument pentaksiran yang sesuai dengan mereka.

32. Soalan: Apakah peranan PAJSK dalam PBS?

Jawapan: PAJSK membekalkan maklumat sebagai pelengkap kepada kemenjadian murid yang seimbang dan harmonis, pencapaian, penglibatan dan penyertaan murid dalam aktiviti jasmani, kesihatan, sukan dan kokurikulum diambil kira sebagai sebahagian daripada wajaran 40% PBS untuk UPSR.