PENILAIAN MENENGAH RENDAH (PMR) DIGANTIKAN PENTAKSIRAN TING. 3
MULAI TAHUN 2014
MULAI TAHUN 2014
Kementerian Pendidikan akan
menggantikan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah untuk pelajar Tingkatan 3
dengan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang hanya dilaksanakan di peringkat
sekolah.
Pengenalan PT3 ini
dibuat dibawah Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang ditambahbaik
berkuatkuasa 1 April 2014.
Timbalan Perdana
Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin berkata, melalui PT3 pihak sekolah akan
mentadbir, mentaksir dan memberi skor terhadap pentaksiran tersebut berpandukan
instrumen dan panduan peraturan penskoran setara (standardise) disediakan oleh
Lembaga Peperiksaan.
"Walaupun PMR
digantikan dengan PT3, tarikah peperiksaan tetap masih ada seperti yang
dirancang dalam PBS lama. Lembaga Peperiksaan tetap akan menyediakan
soalan-soalan dan diletakkan di dalam 'bank soalan' yang pelbagai dari soalan
mudah hingga sukar.
"Pemilihan soalan
digunakan melalui PT3 juga perlu pelbagai dalam memastikan semua jenis soalan
akan digunakan sekolah-sekolah bagi memastikan kualiti pentaksiran dibuat
terhadap pelajar Tingkatan 3,'' katanya pada sidang media penambahbaikan PBS di
Parlimen pada hari ini.
PT3 bagi mata
pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris akan dilaksanakan dengan
menggunakan instrumen pentaksiran ujian bertulis dan ujian lisan.
Mata pelajaran Sains,
Matematik, Pendidikan Islam, Kemahiran Hidup,Bahasa Arab, Bahasa Cina, Bahasa
Tamil, Bahasa Iban dan Bahasa Kadazandusun menggunakan pentaksiran bertulis
sahaja.
Manakala, mata
pelajaran Sejarah dan Geografi pula akan ditaksirkan menggunakan pelbagai
instrumen seperti tugasan bertulis, ujian amali, projek, kajian lapangan atau
kajian kes.
Dalam masa yang sama,
Lembaga Peperiksaan dan pentaksir luar yang dilantik lembaga akan melaksanakan
moderasi dan verifikasi sebelum pelaporan dikeluarkan.
Muhyiddin berkata,
moderasi adalah proses menyelaras markah diberi beberapa orang pemeriksa ke
atas hasil kerja pelajar bagi mendapatkan satu markah yang dipersetujui
bersama.
"Persetujuan ini
adalah berdasarkan peraturan permarkahan yang disediakan dan merupakan prosedur
untuk memastikan konsistensi pemberian markah anatara pemeriksa.
"Verifikasi pula
ialah proses mengesahkan markah yang diperoleh pelajar adalah layak diterima,''
jelasnya.
Tambah Muhyiddin, PT3
juga digunakan sebagai asas menentukan kemasukan murid-murid Tingkatan 4 sama
ada di Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA),
Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) termasuk Sekolah Menengah Teknik (SMT) dan
Kolej Vokasional.
Katanya, selain PT3,
kemasukan ke sekolah-sekolah tersebut juga menggunakan Ujian Psikometrik bagi
memastikan pemilihan dan penempatan murid bersesuaian dengan kemampuan dan
minat mereka.
0 comments:
Post a Comment