MUTAKHIR ini,
persoalan integriti dalam pendidikan begitu banyak ditonjolkan bermula dengan
kejadian kebocoran kertas peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR)
dan kemudiannya yang terbaharu kes buli membabitkan pelajar sekolah.
Kejadian seperti yang dinyatakan tadi berkait
rapat dengan soal integriti sama ada dalam kalangan pendidik mahupun pelajar
itu sendiri. Bagi mengupas mengenai isu integriti dalam kalangan warga
pendidik, ikuti wawancara bersama Exco Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan
Teknologi Hijau Negeri, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria.
Bercakap soal integriti,
semua penjawat awam diingatkan supaya menjaga integriti dalam menjalankan tugas
masing-masing, tiada kompromi. Bagaimana Datuk melihat integriti dalam
kalangan pendidik?
Orang banyak bercakap soal integriti ini
berkaitan dengan disiplin diri, tanggungjawab, melaksanakan kerja, tidak
terlibat dengan salah laku sebagai penjawat awam. itu yang biasanya kita
dengar. Tetapi untuk guru ada satu lagi integriti yang perlu dipatuhi iaitu
dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran.Seperti yang kita tahu,
seorang guru secara langsung atau tidak langsung dia adalah orang yang
mempunyai autonomi tersendiri apabila dia melaksanakan pengajaran dalam bilik
darjah.
Dalam proses pengajaran dan pembelajaran di
bilik darjah itu, hanya guru dan murid sahaja yang ada dan apa yang berlaku di
situ tidak ada siapa yang tahu. Di situlah ada satu lagi ruang yang perlu
dititikberatkan tentang integriti dalam pengajaran dan pembelajaran.
Boleh Datuk perinci atau
beri contoh bagaimana integriti seseorang pendidik di dalam bilik darjah
khususnya dalam pengajaran dan pembelajaran?
Ada lima perkara yang perlu ditekankan dalam
menjaga integriti guru semasa dalam bilik darjah. Pertamanya, sejauh mana guru
melaksanakan apa yang telah dirancang melalui rancangan pengajaran yang telah
ditulis dalam buku rekod mengajar itu.
Kemudian kita tengok sejauh mana guru
bertanggungjawab dalam melaksanakan penyampaian ilmu pengetahuan kepada pelajar
secara lengkap dan memenuhi kehendak kurikulum.
Ketiga pula, sejauh mana guru menggunakan
bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran untuk aktiviti pengukuhan dan pengayaan
yang benar-benar menepati kehendak kurikulum yang menekankan kepada
soalan-soalan menjurus kepada kemahiran berfikir aras tinggi (higher order
thinking skill).
Keempat, sejauh mana guru melalui pengalaman
bertahun-tahun, mampu menyediakan soalan-soalan mengikut aras pemikiran yang
dikehendaki. Perkara kelima adalah sejauh mana kemampuan guru menggubal
soalan ujian atau peperiksaan yang berkualiti dan memenuhi Jadual Penentuan
Ujian.
Plagiarisme perlulah dielakkan kerana ia adalah
satu kesalahan yang serius apalagi di dalam organisasi yang berteraskan
pendidikan.
Berbanding penjawat awam
lain, guru dilihat sedikit berbeza kerana berdepan dengan tugas membentuk modal
insan. Jadi, kesan integriti berbeza dengan penjawat awam yang lain. Apa komen
Datuk?
Ya, betul. Pendidik berbeza dengan penjawat
awam lain. Kalau kita lihat penjawat awam yang lain, jika berlaku kerosakan
atau dengan kata lain jika dia tidak berintegriti hanya melibatkan kerugian
material yang dinilai dalam wang ringgit.
Tetapi seorang guru, kalau tidak berintegriti
dalam bilik darjah dia akan merosakkan generasi dan kerosakan itu lebih lama
kerana generasi itu tidak mendapat pengajaran yang berkualiti daripada guru
atau pendidik.
Selain bertanggungjawab kepada organisasi
seperti mana penjawat awam yang lain, seorang pendidik turut bertanggungjawab
terhadap pelajar atau anak didiknya.
Jika tidak ada integriti guru dalam bilik
darjah kesannya lebih lama dan boleh mengancam masa depan negara. Antara
kesannya termasuklah generasi akan datang tidak dapat berfikir dan tidak boleh
membuat justifikasi terhadap apa-apa tindakan selain tidak boleh
merasionalisasikan maklumat kerana perkara ini tidak dilatih dalam bilik darjah.
Begitulah pentingnya integriti dalam diri
setiap pendidik kerana kesannya memakan masa yang lama.
Kita banyak menyentuh soal
integriti dalam kalangan pendidik, bagaimana pula pembentukan integriti dalam
kalangan pelajar?
Sebagai pendidik, mereka akan mengajar dan
mendidik supaya jadi orang yang berintegriti. Kita diajar sebelum ini dengan 12
nilai yang mengarah kepada integriti. Namun begitu, ia dilihat kurang memberikan
kesan memandangkan nilai adalah sesuatu yang tidak boleh diajar sebaliknya
dipamerkan.
Pendidikan nilai tidak boleh diajar seperti
subjek lain tetapi perlu dipamerkan, diamalkan dan tunjuk contoh yang baik.
Dengan perkataan lain pendidik harus menjadi
role model atau teladan yang baik. Itu lebih berkesan dari mengajar subjek.
Integriti ini dibentuk melalui didikan guru secara langsung dan tidak langsung.
Sebagai contoh cikgu masuk kelas tepat dengan
masanya, buat persediaan secukupnya dan sebagainya. Jika cikgu pun lambat masuk
kelas atau tidak bersedia untuk mengajar, pelajar akan pun mungkin akan ikut
kerana anggap guru sebagai role model.
Ia secara tidak langsung mengarah kepada
tindakan tidak berintegriti yang tidak sepatutnya diberikan pendedahan kepada
pelajar.
Bagaimana untuk membentuk
integriti yang mantap ini di sekolah selain memberi fokus kepada pendidik
semata-mata?
Di sekolah ada empat komponen penting yang mana
keempat-empat ini perlu ada integriti bagi memastikan sistem pendidikan berada
dalam keadaan baik. Empat komponen itu, pertama adalah pengurusan dan
pentadbiran sekolah.
Pengurusan dan pentadbiran sekolah mestilah
diuruskan oleh kepimpinan sekolah yang mempunyai integriti yang mementingkan
nilai-nilai murni. Yang kedua pula adalah ibu bapa. Mereka ini role model
terdekat yang sentiasa dirujuk oleh anak-anak.
Jika ibu bapa perlu mengamal konsep integriti
yang tinggi untuk dicontohi anak-anak. Komponen ketiga adalah pelajar atau
murid itu sendiri dan komponen keempat adalah komuniti sekolah.
Semua komponen ini perlu menjalankan tugas, peranan dan tanggungjawab masing-masing dengan penuh integriti, ikhlas serta saling melengkapi antara satu sama lain.
Semua komponen ini perlu menjalankan tugas, peranan dan tanggungjawab masing-masing dengan penuh integriti, ikhlas serta saling melengkapi antara satu sama lain.
Setiap agensi atau jabatan
kerajaan mempunyai badan pemantauan integriti. Bagaimana pula badan pemantau
bagi warga pendidik?
Di dalam sistem kawalan kualiti pendidikan
sudahpun ada hirarki kuasa, tugas dan tanggung jawab.Peranan Pengetua dan Guru
Besar yang untuk memantau, menyelia dan menegur sekiranya guru-guru tersasar
dari landasan sebenar sebagai seorang pendidik.
Pengetua dan guru besar perlu menyelia
pelaksanaan PdP guru.Manakala di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan
Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) pula ada sektor naziran yang memantau dan
membimbing sekolah dari semua aspek termasuk integriti.
Guru juga mesti tahu dasar-dasar kerajaan dan
dasar-dasar jabatan serta elakkan diri dari terjerumus kepada perkara-perkara
yang boleh mengurangkan integriti guru itu sendiri termasuklah apa-apa bentuk
penyelewengan dan salah laku.
Seorang guru perlu memberi tumpuan
kepada menjalankan proses PdP yang berkualiti, berfokus dan juga
bermatlamat memberikan pendidikan yang terbaik kepada pelajar dari aspek
kuriulum dan juga kokurikulum.
Guru tidak perlu terlibat dengan sebarang
aktiviti luar melainkan yang memberikan pengetahuan atau maklumat baru
untuk digunakan memantapkan diri sebagai guru yang professional demi melahirkan
generasi akan datang yang cemerlang seperti kehendak Falsafah Pendidikan Negara.
Apakah harapan Datuk
terhadap warga pendidik di negeri ini khususnya dari sudut integriti?
Kerajaan Negeri Perak sentiasa bekerjasama dengan semua warga pendidik dalam mencapai kecemerlangan dalam pendidikan negeri Perak.
Kerajaan Negeri Perak sentiasa bekerjasama dengan semua warga pendidik dalam mencapai kecemerlangan dalam pendidikan negeri Perak.
Sebab itulah kita sentiasa berterusan
bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pendidikan Negeri
Perak bagi melaksanakan program-program yang boleh meningkatkan lagi profesionalisme
dan integriti guru sebagai pendidik.
Justeru, kerajaan negeri berharap warga
pendidik mestilah menjaga integriti sebagai pendidik dan penjawat awam sebagai
mana yang ada dalam etika perkhidmatan penjawat awam.
Jika ini dapat dilaksanakan saya fikir kita boleh melahirkan lebih ramai pelajar yang cemerlang dalam pendidikan, berakhlak mulia serta berintegriti tinggi.
Jika ini dapat dilaksanakan saya fikir kita boleh melahirkan lebih ramai pelajar yang cemerlang dalam pendidikan, berakhlak mulia serta berintegriti tinggi.
Kerajaan negeri juga komited bersama menjayakan
Plan Pembangunan Pendidikan 2013 – 2025 yang telah dilancarkan baru-baru
ini.