KUALA LUMPUR 19 Sept. - Personaliti atau sikap guru dikenal
pasti sebagai faktor terpenting dalam mempengaruhi pelajar ponteng sekolah,
menurut kajian yang dijalankan Universiti Malaya (UM) dan Institut Pendidikan
Guru dengan kerjasama Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).
Ketua
Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling UM, Dr. Zahari Ishak berkata,
keperibadian guru yang digemari pelajar akan meningkatkan minat serta menggalakkan
golongan itu hadir ke sekolah.
"Guru
memainkan peranan penting dalam menarik minat pelajar ke sekolah. Hal ini
kerana secara amnya pelajar suka berada di sekolah tetapi personaliti guru yang
garang, marah-marah, suka membebel dan teknik pengajaran membosankan
menyebabkan mereka tidak mahu ke sekolah.
"Terdapat
juga guru yang mengajar dengan kurang efektif kerana menganggap kerjaya
perguruan hanya sebagai pilihan untuk mendapatkan pekerjaan lebih
terjamin," katanya.
Beliau
berkata demikian selepas pelancaran monograf bertajuk Senario Ponteng
Pelajar Sekolah Menengah: Suatu Analisis Statistikal bersama Pengerusi
MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye dan Pensyarah Institut Pendidikan Guru, Dr. Low Suet
Fin, di sini hari ini.
LEE Lam Thye bersama Zahari Ishak (dua dari kanan) dan Low Suet Fin
(kiri) melihat buku dalam majlis pelancaran monograf bertajuk Senario Ponteng Pelajar Sekolah Menengah: Suatu Analisis Statistikal di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/ASWAD YAHYA
Dalam
pada itu, Zahari berkata, antara faktor lain yang mendorong pelajar terlibat
dalam gejala ponteng adalah persekitaran dalam dan luar sekolah, sistem
pentadbiran sekolah yang tidak adil, sikap pelajar, keluarga dan rakan sebaya.
Dalam
masa sama tambah beliau, hukuman ke atas pelajar yang ponteng sekolah perlu
dikaji semula dengan mengambil kira kesan hukuman terhadap penularan gejala
itu.
"Hukuman
gantung atau buang sekolah selepas mengeluarkan surat amaran kepada golongan
pelajar ini didapati tidak berkesan dan tidak sesuai.
"Hal
ini kerana sistem ini seolah-olah memberi lesen secara rasmi kepada pelajar
yang ponteng sekali gus harapan mereka untuk berada di luar sistem persekolahan
telah tercapai dan akibatnya mereka berkemungkinan besar akan terlibat dalam
permasalahan sosial," katanya.
Sementara
itu, Lam Thye berkata, pihaknya telah mencetak 1,000 naskhah monograf untuk
diedarkan kepada pihak-pihak berkaitan.
"Saya
harap hasilan kajian ini akan digunakan sebagai maklum balas membina dan dapat
membantu memperbaiki sistem pendidikan agar gejala ponteng dalam kalangan
pelajar dapat dikurangkan," jelasnya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130920/dn_19/Guru-punca-pelajar-ponteng#ixzz2fdfVbBB9
© Utusan Melayu (M) Bhd