Visi Sekolah

Monday, September 23, 2013

Kajian terkini .. Guru punca pelajar ponteng?






KUALA LUMPUR 19 Sept. - Personaliti atau sikap guru dikenal pasti sebagai faktor terpenting dalam mempengaruhi pelajar ponteng sekolah, menurut kajian yang dijalankan Universiti Malaya (UM) dan Institut Pendidikan Guru dengan kerjasama Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).

Ketua Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling UM, Dr. Zahari Ishak berkata, keperibadian guru yang digemari pelajar akan meningkatkan minat serta menggalakkan golongan itu hadir ke sekolah.

"Guru memainkan peranan penting dalam menarik minat pelajar ke sekolah. Hal ini kerana secara amnya pelajar suka berada di sekolah tetapi personaliti guru yang garang, marah-marah, suka membebel dan teknik pengajaran membosankan menyebabkan mereka tidak mahu ke sekolah.

"Terdapat juga guru yang mengajar dengan kurang efektif kerana menganggap kerjaya perguruan hanya sebagai pilihan untuk mendapatkan pekerjaan lebih terjamin," katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran monograf bertajuk Senario Ponteng Pelajar Sekolah Menengah: Suatu Analisis Statistikal bersama Pengerusi MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye dan Pensyarah Institut Pendidikan Guru, Dr. Low Suet Fin, di sini hari ini.



LEE Lam Thye bersama Zahari Ishak (dua dari kanan) dan Low Suet Fin (kiri) melihat buku dalam majlis pelancaran monograf bertajuk Senario Ponteng Pelajar Sekolah Menengah: Suatu Analisis Statistikal di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/ASWAD YAHYA



Dalam pada itu, Zahari berkata, antara faktor lain yang mendorong pelajar terlibat dalam gejala ponteng adalah persekitaran dalam dan luar sekolah, sistem pentadbiran sekolah yang tidak adil, sikap pelajar, keluarga dan rakan sebaya.

Dalam masa sama tambah beliau, hukuman ke atas pelajar yang ponteng sekolah perlu dikaji semula dengan mengambil kira kesan hukuman terhadap penularan gejala itu.

"Hukuman gantung atau buang sekolah selepas mengeluarkan surat amaran kepada golongan pelajar ini didapati tidak berkesan dan tidak sesuai.

"Hal ini kerana sistem ini seolah-olah memberi lesen secara rasmi kepada pelajar yang ponteng sekali gus harapan mereka untuk berada di luar sistem persekolahan telah tercapai dan akibatnya mereka berkemungkinan besar akan terlibat dalam permasalahan sosial," katanya.

Sementara itu, Lam Thye berkata, pihaknya telah mencetak 1,000 naskhah monograf untuk diedarkan kepada pihak-pihak berkaitan.

"Saya harap hasilan kajian ini akan digunakan sebagai maklum balas membina dan dapat membantu memperbaiki sistem pendidikan agar gejala ponteng dalam kalangan pelajar dapat dikurangkan," jelasnya.

0 comments: