Bercita-cita
menjadi guru tidak lagi dilihat sebagai kerjaya tetapi lebih kepada pekerjaan
membabitkan pendidikan berterusan yang diterima oleh guru kemudian disampaikan
kepada murid menerusi kebolehan guru dalam mengadaptasi ilmu yang dipelajarinya
ketika di universiti dan pengalaman sekeliling.
Naib
Presiden International Institute of Management and Technology yang juga Tokoh
Guru 2011, Datuk Profesor Ab Rahim Selamat menyifatkan seorang guru yang
sempurna harus memenuhi ciri-ciri prinsip perguruan yang diterapkan.
Rahim
berkata, tema Hari Guru 2014, Guru: Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi adalah
selaras dengan sistem pendidikan moden abad ke-21, iaitu berfikiran kreatif dan
kritis selain menggalakkan perkembangan sahsiah murid ke arah holistik dan
seimbang.
Justeru,
jelas beliau, guru menjadi penggerak utama sebagai pencetus ilmu dan pemberi
maklumat yang tepat dan jelas bagi membolehkan pengetahuan yang disampaikan
diterima baik dengan menggunakan kaedah pembelajaran dalam kelas yang berkesan.
"Oleh
itu guru hari ini kena memperluaskan ilmu pengetahuan mereka dengan
memperbanyakkan bacaan tambahan, kreativiti dan pemikiran luas dan strategik
bagi mencipta ilmu baharu bertaraf dunia.
"Untuk
menjadi guru terbaik, bukan saja mengguna pakai etika pekerjaan semata-mata
tetapi lebih kepada amalan iaitu ilmu, sikap, minat dan agama. Dengan adanya
semua amalan itu, guru akan lebih berfikiran jauh dan berbakat dalam
membangunkan anak bangsa yang bijak pandai dan berakhlak tinggi," katanya.
Guru harus ada inovasi
Ab
Rahim yang menceburi bidang pendidikan sejak 1965 sebagai guru darjah Tingkatan
Enam dan Peralihan itu berkata, selain mempunyai kreativiti, seorang guru harus
ada inovasi terutama ketika sesi pembelajaran berlangsung di dalam kelas atau
di luar kelas.
"Mereka
tidak perlu menumpu sepenuh perhatian dengan cara mengajar rutin seperti yang
dipraktikkan sejak zaman silam sedangkan inovasi memerlukan guru berpindah dari
budaya rutin kepada penggunaan teknologi termasuk alam sekitar selain lebih
mengutamakan pelanggan iaitu pelajar.
Sementara
itu, guru perlu kreatif dalam mengubah pandangan masyarakat daripada terus
menuding jari menyalahkan profesion perguruan sebagai punca pelajar tercicir
pelajaran di sekolah.
Sebagai
seorang bekas guru yang sudah berkhidmat dalam dunia pendidikan hampir 40
tahun, Phua Seng Tiong, 69, atau lebih dikenali sebagai Cikgu Phua di kalangan
pelajar dan masyarakat sekitar, beliau mahu guru masa kini lebih komited dalam
profesion itu.
Penerima
Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2009 itu menganggap cabaran paling besar bagi
seorang guru apabila terpaksa berdepan dengan pelajar yang mempunyai masalah
sosial.
Ubah stigma masyarakat
"Nadi
pendidikan adalah kita sebagai guru yang membentuk masa depan pelajar, bukan
masa kini pelajar. Ubah stigma masyarakat yang sering menyalahkan guru kerana
lemah membentuk pelajar.
"Peranan
guru sangat besar selain ibu bapa dalam membantu pelajar mendapatkan masa depan
cerah.
"Apabila
melangkah ke sekolah, bawa peranan pendidikan tepat dan jelas supaya pelajar
suka hadir ke sekolah," kata pesara guru yang berasal dari Batu Pahat,
Johor itu.
Berpegang
pada prinsip 'Management by Walking' (MBW), beliau sentiasa menggunakan
pendekatan mesra dengan pelajar walaupun ketika bertugas sebagai pengetua
kerana menganggap komitmen sebagai guru bukan sekadar mengajar tetapi memahami
keperluan pelajar.
Sumber:
BH
0 comments:
Post a Comment