Visi Sekolah

Saturday, December 6, 2014

Penilaian Bersepadu Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PBPPP)





Penilaian Bersepadu Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PBPPP)

a.            PBPPP berhasrat menggantikan penilaian sedia ada di KPM
b.            PBPPP adalah satu kaedah penilaian
           i.      Berdasarkan Job-Based & Workplace
           ii.      Standard prestasi selaras dengan Goverment Transformation Programme 2.0 (GTP2.0); Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015-2025 
·                     Anjakan ke-4 Mentransformasi Profesion Keguruan Menjadi Profesion Pilihan
·                     Anjakan ke-5  Memastikan Kepimpinan Berprestasi Tinggi Ditempatkan di Setiap Sekolah

c.              Matlamat:-

(i) Meningkatkan kecekapan & komitmen bagi melahirkan PPP berprestasi tinggi
(ii) Penilaian menyeluruh yang menggabungjalin kompetensi & potensi keberhasilan PPP
d. Objektif:- Menilai kompetensi & potensi PPP serta menilai keberhasilan (aspek peningkatan)
e.   Dilaksanakan berterusan selama setahun. Penilaian sekurang-kurangnya 2 kali setahun
f.    Dinilai oleh 2 orang pegawai berdasarkan generik/fungsional/keberhasilan
g.  Penilaian kompetensi (Generik + fungsional), Generik - semua PPP dinilai sama Fungsional - berdasarkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang masing-masing

Generik dan Fungsional:

D1: 20%  Profesionalisme

·                     Nilai profesional  - 6%,
·                     Sahsiah   -  4%
·                     Potensi   -  4%
·                     Keilmuan & pengetahuan -  6%

D2: 10%  Tugasan tambahan
·                     Hubungan luar   -  4%
·                     Tugas sampingan  -  6%

D3:  10%  Penglibatan
·                     sumbangan   -  10%
1.  bimbingan & motivasi
2.  sumbangan profesional & social

D4 :  60%  Kemahiran
·                     peranan PdP   -  20%
·                     Pelaksanaan PdP  -  30%
·                     Pentaksiran PdP  - 10%

Penilaian keberhasilan (Keberhasilan) - 100%

·                     Keberhasilan - mengukur peningkatan bukan pencapaian
·                     Peningkatan - sebarang perkembangan pengetahuan / kemahiran / hasil kerja / tingkah laku
·                     Keberhasilan merujuk kepada sasaran peningkatan individu
1.  Perancangan guru - Folder Rancangan Mengajar/RPH/SKT
2.  Prestasi murid - berdasarkan headcount/TOV/ETR
3.  Laporan prestasi keseluruhan murid - laporan AR
4.  Pencapaian murid/sekolah (peningkatan band/GPS)

Peningkatan markah subjek dominan/major
sekiranya terdapat lebih dari 1 peningkatan, ambil yang terbaik

Penetapan sasaran - persetujuan bersama melalui perbincangan antara PP dan PYD

Markah Penilaian kompetensi = 90% + Keberhasihan = 10%
Jumlah = 100%

h.     Diukur 3 kategori (Tinggi/Sederhana/Rendah)

 Markah     Prestasi
 90-100      Cemerlang                    
 80-89.99   Baik                               
60-79.99  Sederhana                     
50-59.99  Kurang memuaskan       
0-49.99    Lemah                           

i.            LNPT masih dilaksanakan.  PBPPP dilaksanakan sepenuhnya pada 2015 apabila diluluskan

j.                Jawatankuasa PBPPP
            Pengerusi : Pengetua
            Setiausaha : Penolong Kanan Pentadbiran
            AJK  :  PK HEM
                        PK Kokurikulum
             Guru Kanan
                        Ketua Panitia
                        Urusetia : KPT/PT

 Perlu isi  Borang Perakuan Akta Rahsia Rasmi
                                                                                                                                                  
k.             PBPPP melibatkan 2 orang Pegawai Penilai (PP) iaitu PP 1 dan PP 2
l.              PP  & PYD akan diputuskan oleh jawatankuasa PBPPP


Saturday, November 22, 2014

Integriti Guru Dalam Pendidikan




MUTAKHIR ini, persoalan integriti dalam pendidikan begitu banyak ditonjolkan bermula dengan kejadian kebocoran kertas peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan kemudiannya yang terbaharu kes buli membabitkan pelajar sekolah.

Kejadian seperti yang dinyatakan tadi berkait rapat dengan soal integriti sama ada dalam kalangan pendidik mahupun pelajar itu sendiri. Bagi mengupas mengenai isu integriti dalam kalangan warga pendidik, ikuti wawancara bersama Exco Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria.

Bercakap soal integriti, semua penjawat awam diingatkan supaya menjaga integriti dalam menjalankan tugas masing-masing, tiada  kompromi. Bagaimana Datuk melihat integriti dalam kalangan pendidik?

Orang banyak bercakap soal integriti ini berkaitan dengan disiplin diri, tanggungjawab, melaksanakan kerja, tidak terlibat dengan salah laku sebagai penjawat awam. itu yang biasanya kita dengar. Tetapi untuk guru ada satu lagi integriti yang perlu dipatuhi iaitu dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran.Seperti yang kita tahu, seorang guru secara langsung atau tidak langsung dia adalah orang yang mempunyai autonomi tersendiri apabila dia melaksanakan pengajaran dalam bilik darjah.

Dalam proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah itu, hanya guru dan murid sahaja yang ada dan apa yang berlaku di situ tidak ada siapa yang tahu. Di situlah ada satu lagi ruang yang perlu dititikberatkan tentang integriti dalam pengajaran dan pembelajaran.


Boleh Datuk perinci atau beri contoh bagaimana integriti seseorang pendidik di dalam bilik darjah khususnya dalam pengajaran dan pembelajaran?

Ada lima perkara yang perlu ditekankan dalam menjaga integriti guru semasa dalam bilik darjah. Pertamanya, sejauh mana guru melaksanakan apa yang telah dirancang melalui rancangan pengajaran yang telah ditulis dalam buku rekod mengajar itu.

Kemudian kita tengok sejauh mana guru bertanggungjawab dalam melaksanakan penyampaian ilmu pengetahuan kepada pelajar secara lengkap dan memenuhi kehendak kurikulum.

Ketiga pula, sejauh mana guru menggunakan bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran untuk aktiviti pengukuhan dan pengayaan yang benar-benar menepati kehendak kurikulum yang menekankan kepada soalan-soalan menjurus kepada kemahiran berfikir aras tinggi (higher order thinking skill).

Keempat, sejauh mana guru melalui pengalaman bertahun-tahun, mampu menyediakan soalan-soalan mengikut aras pemikiran yang dikehendaki.  Perkara kelima adalah sejauh mana kemampuan guru menggubal soalan ujian atau peperiksaan yang berkualiti dan memenuhi Jadual Penentuan Ujian.

Plagiarisme perlulah dielakkan kerana ia adalah satu kesalahan yang serius apalagi di dalam organisasi yang berteraskan pendidikan.

Berbanding penjawat awam lain, guru dilihat sedikit berbeza kerana berdepan dengan tugas membentuk modal insan. Jadi, kesan integriti berbeza dengan penjawat awam yang lain. Apa komen Datuk?

Ya, betul. Pendidik berbeza dengan penjawat awam lain. Kalau kita lihat penjawat awam yang lain, jika berlaku kerosakan atau dengan kata lain jika dia tidak berintegriti hanya melibatkan kerugian material yang dinilai dalam wang ringgit.

Tetapi seorang guru, kalau tidak berintegriti dalam bilik darjah dia akan merosakkan generasi dan kerosakan itu lebih lama kerana generasi itu tidak mendapat pengajaran yang berkualiti daripada guru atau pendidik.

Selain bertanggungjawab kepada organisasi seperti mana penjawat awam yang lain, seorang pendidik turut bertanggungjawab terhadap pelajar atau anak didiknya.

Jika tidak ada integriti guru dalam bilik darjah kesannya lebih lama dan boleh mengancam masa depan negara. Antara kesannya termasuklah generasi akan datang tidak dapat berfikir dan tidak boleh membuat justifikasi terhadap apa-apa tindakan selain tidak boleh merasionalisasikan maklumat kerana perkara ini tidak dilatih dalam bilik darjah.

Begitulah pentingnya integriti dalam diri setiap pendidik kerana kesannya memakan masa yang lama. 
 

Kita banyak menyentuh soal integriti dalam kalangan pendidik, bagaimana pula pembentukan integriti dalam kalangan pelajar?

Sebagai pendidik, mereka akan mengajar dan mendidik supaya jadi orang yang berintegriti. Kita diajar sebelum ini dengan 12 nilai yang mengarah kepada integriti. Namun begitu, ia dilihat kurang memberikan kesan memandangkan nilai adalah sesuatu yang tidak boleh diajar sebaliknya dipamerkan.

Pendidikan nilai tidak boleh diajar seperti subjek lain tetapi perlu dipamerkan, diamalkan dan tunjuk contoh yang baik.

Dengan perkataan lain pendidik harus menjadi role model atau teladan yang baik. Itu lebih berkesan dari mengajar subjek. Integriti ini dibentuk melalui didikan guru secara langsung dan tidak langsung.

Sebagai contoh cikgu masuk kelas tepat dengan masanya, buat persediaan secukupnya dan sebagainya. Jika cikgu pun lambat masuk kelas atau tidak bersedia untuk mengajar, pelajar akan pun mungkin akan ikut kerana anggap guru sebagai role model.

Ia secara tidak langsung mengarah kepada tindakan tidak berintegriti yang tidak sepatutnya diberikan pendedahan kepada pelajar.

Bagaimana untuk membentuk integriti yang mantap ini di sekolah selain memberi fokus kepada pendidik semata-mata?

Di sekolah ada empat komponen penting yang mana keempat-empat ini perlu ada integriti bagi memastikan sistem pendidikan berada dalam keadaan baik. Empat komponen itu, pertama adalah pengurusan dan pentadbiran sekolah.

Pengurusan dan pentadbiran sekolah mestilah diuruskan oleh kepimpinan sekolah yang mempunyai integriti yang mementingkan nilai-nilai murni. Yang kedua pula adalah ibu bapa. Mereka ini role model terdekat yang sentiasa dirujuk oleh anak-anak.

Jika ibu bapa perlu mengamal konsep integriti yang tinggi untuk dicontohi anak-anak. Komponen ketiga adalah pelajar atau murid itu sendiri dan komponen keempat adalah komuniti sekolah. 

Semua komponen ini perlu menjalankan tugas, peranan dan tanggungjawab masing-masing dengan penuh integriti, ikhlas serta saling melengkapi antara satu sama lain.

Setiap agensi atau jabatan kerajaan mempunyai badan pemantauan integriti. Bagaimana pula badan pemantau bagi warga pendidik?

Di dalam sistem kawalan kualiti pendidikan sudahpun ada hirarki kuasa, tugas dan tanggung jawab.Peranan Pengetua dan Guru Besar yang untuk memantau, menyelia dan menegur sekiranya guru-guru tersasar dari landasan sebenar sebagai seorang pendidik.

Pengetua dan guru besar perlu menyelia pelaksanaan PdP guru.Manakala di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) pula ada sektor naziran yang memantau dan membimbing sekolah dari semua aspek termasuk integriti.

Guru juga mesti tahu dasar-dasar kerajaan dan dasar-dasar jabatan serta elakkan diri dari terjerumus kepada perkara-perkara yang boleh mengurangkan integriti guru itu sendiri termasuklah apa-apa bentuk penyelewengan dan salah laku.

Seorang guru perlu memberi tumpuan kepada menjalankan  proses PdP  yang berkualiti, berfokus dan juga bermatlamat memberikan pendidikan yang  terbaik kepada pelajar dari aspek kuriulum dan juga kokurikulum.

Guru tidak perlu terlibat dengan sebarang aktiviti luar melainkan yang  memberikan pengetahuan atau maklumat baru untuk digunakan memantapkan diri sebagai guru yang professional demi melahirkan generasi akan datang yang cemerlang seperti kehendak Falsafah Pendidikan Negara.

Apakah harapan Datuk terhadap warga pendidik di negeri ini khususnya dari sudut integriti?

Kerajaan Negeri Perak sentiasa bekerjasama dengan semua warga pendidik dalam mencapai kecemerlangan dalam pendidikan negeri Perak.

Sebab itulah kita sentiasa berterusan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pendidikan Negeri Perak bagi melaksanakan program-program yang boleh meningkatkan lagi profesionalisme dan integriti  guru sebagai pendidik.

Justeru, kerajaan negeri berharap warga pendidik mestilah menjaga integriti sebagai pendidik dan penjawat awam sebagai mana yang ada dalam etika perkhidmatan penjawat awam.

Jika ini dapat dilaksanakan saya fikir kita boleh melahirkan lebih ramai pelajar yang cemerlang dalam pendidikan,  berakhlak mulia serta berintegriti tinggi.


Kerajaan negeri juga komited bersama menjayakan Plan Pembangunan Pendidikan  2013 – 2025 yang telah dilancarkan baru-baru ini.




Tuesday, July 8, 2014

Soal Jawab Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) bersama Tokoh Pendidikan

Mukkadimah

Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) adalah satu daripada komponen di bawah PBS yang diperkenalkan untuk menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sebagai salah satu usaha kerajaan memansuhkan sistem pendidikan yang terlalu berorientasikan peperiksaan.
Menerusi PT3, kreativiti para pelajar akan dapat dikembangkan melalui penilaian berterusan di sekolah berbanding dengan sistem peperiksaan sebelum ini.

Dalam wawancara Wartawan Utusan Malaysia, FITRI AFFENDI MUSTAFA bersama tokoh pendidikan, TAN SRI DR. ABDUL RAHMAN ARSHAD (gambar), beliau yakin sistem baharu itu dapat meningkatkan tahap berfikir dan kreativiti para pelajar di negara ini.




UTUSAN: Kenapa perlu perkenal PBS? Ada mana-mana negara yang sudah melaksanakan PBS dan bukan peperiksaan bersepadu seperti sebelum ini?

ABDUL RAHMAN: PBS merupakan satu langkah yang baik oleh kerajaan kerana cara peperiksaan sebelum ini pelajar-pelajar hanya dibekalkan dengan pensel untuk menjawab soalan. Jika negara kita mahu melahirkan masyarakat yang kreatif, kita perlu mengubah minda pelajar-pelajar dengan menerapkan nilai perbincangan serta berfikir dan bukan hanya sekadar meneka jawapan sahaja. 

Kita jangan hanya mengambil kira mengenai kurikulum semata-mata tetapi juga dalam aspek kokurikulum. Jika kita hendak melahirkan masyarakat pemikir dan kreatif, kerajaan perlu menggalakkan para pelajar untuk berbincang dan perkara ini hanya boleh dilakukan di sekolah. Kita mahu para pelajar dapat berbincang dengan para penilai serta tidak mahu pelajar-pelajar yang hanya menjawab soalan seperti sistem sebelum ini. Jadi, kita mesti mengubah minda pelajar-pelajar supaya lebih berfikir. Sebenarnya sistem seperti ini (PBS) sudah banyak dilaksanakan di negara lain. Malah, ini juga bukan perkara baharu di seluruh negara kerana sebelum ini juga sudah ada ujian bulanan dan tahunan dijalankan.

Sistem pendidikan kita sering dikritik kononnya tidak cukup bagus berbanding negara jiran, Singapura dan Indonesia dalam melahirkan pelajar yang berfikiran kritis. Adakah PBS jawapannya?

Ya. Melalui PBS dapat melahirkan para pelajar yang berfikir, proaktif dan kreatif disebabkan dahulu pelajar-pelajar kurang berfikir apabila mereka lebih banyak meneka jawapan. Mereka hanya perlu menanda jawapan peperiksaan yang dilihat tidak menggalakkan mereka berfikir. Sebagai contoh, dalam PBS ini, akan menggalakkan para pelajar untuk berbincang. Jadi, jika hendak berbincang mereka perlu ada ilmu pengetahuan dan nak dapat pengetahuan itu pula mereka perlu mencarinya. Jadi, PBS mempunyai semua perkara itu.

Apakah kebaikan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3)?

Pelajar-pelajar harus diuji setiap waktu. Ini kerana pengetahuan pelajar semakin bertambah dan mereka perlu mendapat pengetahuan yang sesuai pada setiap waktu dan bukan hanya di peringkat tingkatan tiga. 

Oleh itu, melalui PT3, guru-guru dapat menilai pelajar sejak awal. Sebagai contoh, pelajar yang baik, kita dapat tingkatkan lagi prestasi mereka. Sementara yang kurang baik kita boleh bantu mereka. Jika tiada penilaian sejak awal, kita tidak akan tahu yang mana pelajar baik dan kurang baik. Guru-guru pula sentiasa mengajar tetapi kita tidak tahu sejauh mana kebolehan para pelajar. Melalui penilaian ini (PT3), guru-guru akan dapat tahu kelebihan serta kekurangan pelajar-pelajar agar kita dapat memajukan pelajar supaya lebih baik serta membimbing mereka yang kurang baik.

Mengapa perlu diwujudkan PT3?

Objektif kerajaan adalah untuk melahirkan masyarakat yang kreatif dan inovatif. Jika kita mahukan ini, kita mesti mencipta sesuatu yang baharu. Kita tidak boleh mencipta sesuatu perkara baharu jika pelajar tidak boleh berfikir. Hendak berfikir mesti ada perbincangan dan kajian dan ini perubahan yang sedang dilakukan. Kita mahu melahirkan masyarakat yang kreatif dan perkara itu tidak akan berlaku jika mereka tidak boleh berfikir. Sekolah membekalkan ilmu pengetahuan, tetapi kejayaan kita ialah dengan menggalakkan para pelajar untuk berfikir dengan mengadakan perbincangan.

Apa kelebihan PT3 berbanding PMR sebelum ini?

PMR banyak menumpukan peperiksaan apabila para pelajar hanya memilih jawapan betul atau tidak betul dengan pilihan yang diberikan. Sementara PT3, kita mahu menggalakkan pelajar-pelajar untuk berbincang dan berfikir. PMR, mereka hanya tanda jawapan yang betul. Dalam PT3, mereka akan berbincang dan menilai sesuatu tajuk. Perkara ini dapat menilai tahap kebolehan pemikiran para pelajar. 

Apakah kelebihan PT3 dalam membentuk sahsiah pelajar?

PT3 bukan sahaja berkesan dalam meningkatkan kemahiran akademik pelajar, malah sistem ini juga memberi nilai tambah kepada bidang kokurikulum mereka sebagai perimbangan yang sempurna.

Sistem ini juga membantu jati diri dan sikap mereka secara keseluruhan. Kesimpulannya, PT3 bersikap holistik dalam memanfaatkan golongan pelajar di negara ini.

Melalui penilaian ini (PT3), guru-guru akan dapat tahu kelebihan serta kekurangan pelajar-pelajar agar kita dapat memajukan pelajar supaya lebih baik serta membimbing mereka yang kurang baik.

Bagaimana PT3 dapat membantu guru-guru menilai potensi para pelajar?

PT3 dapat memberi peluang kepada guru-guru untuk menilai potensi sebenar para pelajar mereka melalui penilaian yang dijalankan secara berterusan di sekolah. 

Daripada situ, guru-guru dapat membantu meningkatkan tahap pencapaian akademik para pelajar mereka yang lemah sejak awal melalui sistem penilaian yang dijalankan secara berterusan. Perkara ini bermakna, guru-guru akan dapat mengesan potensi dan kekurangan yang terdapat dalam para pelajar mereka.

Tuesday, June 17, 2014

Pendekatan kritis jana inovasi pelajar




Bercita-cita menjadi guru tidak lagi dilihat sebagai kerjaya tetapi lebih kepada pekerjaan membabitkan pendidikan berterusan yang diterima oleh guru kemudian disampaikan kepada murid menerusi kebolehan guru dalam mengadaptasi ilmu yang dipelajarinya ketika di universiti dan pengalaman sekeliling.

Naib Presiden International Institute of Management and Technology yang juga Tokoh Guru 2011, Datuk Profesor Ab Rahim Selamat menyifatkan seorang guru yang sempurna harus memenuhi ciri-ciri prinsip perguruan yang diterapkan.

Rahim berkata, tema Hari Guru 2014, Guru: Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi adalah selaras dengan sistem pendidikan moden abad ke-21, iaitu berfikiran kreatif dan kritis selain menggalakkan perkembangan sahsiah murid ke arah holistik dan seimbang. 

Justeru, jelas beliau, guru menjadi penggerak utama sebagai pencetus ilmu dan pemberi maklumat yang tepat dan jelas bagi membolehkan pengetahuan yang disampaikan diterima baik dengan menggunakan kaedah pembelajaran dalam kelas yang berkesan.

"Oleh itu guru hari ini kena memperluaskan ilmu pengetahuan mereka dengan memperbanyakkan bacaan tambahan, kreativiti dan pemikiran luas dan strategik bagi mencipta ilmu baharu bertaraf dunia.

"Untuk menjadi guru terbaik, bukan saja mengguna pakai etika pekerjaan semata-mata tetapi lebih kepada amalan iaitu ilmu, sikap, minat dan agama. Dengan adanya semua amalan itu, guru akan lebih berfikiran jauh dan berbakat dalam membangunkan anak bangsa yang bijak pandai dan berakhlak tinggi," katanya.

Guru harus ada inovasi
 
Ab Rahim yang menceburi bidang pendidikan sejak 1965 sebagai guru darjah Tingkatan Enam dan Peralihan itu berkata, selain mempunyai kreativiti, seorang guru harus ada inovasi terutama ketika sesi pembelajaran berlangsung di dalam kelas atau di luar kelas.

"Mereka tidak perlu menumpu sepenuh perhatian dengan cara mengajar rutin seperti yang dipraktikkan sejak zaman silam sedangkan inovasi memerlukan guru berpindah dari budaya rutin kepada penggunaan teknologi termasuk alam sekitar selain lebih mengutamakan pelanggan iaitu pelajar.

Sementara itu, guru perlu kreatif dalam mengubah pandangan masyarakat daripada terus menuding jari menyalahkan profesion perguruan sebagai punca pelajar tercicir pelajaran di sekolah.

Sebagai seorang bekas guru yang sudah berkhidmat dalam dunia pendidikan hampir 40 tahun, Phua Seng Tiong, 69, atau lebih dikenali sebagai Cikgu Phua di kalangan pelajar dan masyarakat sekitar, beliau mahu guru masa kini lebih komited dalam profesion itu.

Penerima Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2009 itu menganggap cabaran paling besar bagi seorang guru apabila terpaksa berdepan dengan pelajar yang mempunyai masalah sosial.

Ubah stigma masyarakat

"Nadi pendidikan adalah kita sebagai guru yang membentuk masa depan pelajar, bukan masa kini pelajar. Ubah stigma masyarakat yang sering menyalahkan guru kerana lemah membentuk pelajar.

"Peranan guru sangat besar selain ibu bapa dalam membantu pelajar mendapatkan masa depan cerah.

"Apabila melangkah ke sekolah, bawa peranan pendidikan tepat dan jelas supaya pelajar suka hadir ke sekolah," kata pesara guru yang berasal dari Batu Pahat, Johor itu.

Berpegang pada prinsip 'Management by Walking' (MBW), beliau sentiasa menggunakan pendekatan mesra dengan pelajar walaupun ketika bertugas sebagai pengetua kerana menganggap komitmen sebagai guru bukan sekadar mengajar tetapi memahami keperluan pelajar.

Sumber: BH